Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

Read N Write Ad

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Sunday, July 27, 2008

Malaysia perlukan Kerajaan dan Kesultanan Kesultanan Melayu yang berani dan tegas!

24hb Rejab 1429 Hijrah.
Ahad 27hb Julai 2008 Masehi.

Assalamualaikum tuan tuan dan puan puan sekelian.

Saya merujuk kepada keadaan negara kita Malaysia ini yang semakin hari semakin terhakis kekebalan dan kedaulatan undang undang nya dimata dunia dan rantau Asia.

Satu demi satu peristiwa yang menyakitkan hati sedang menimpa negara bekas empayar Melayu Melaka yang sejak tahun 1511 ditakluki penjajah asing dan sesudah beratus tahun, negara ini akhirnya dapat membebaskan diri dari belenggu penjajah pada tanggal 31hb Ogos 1957.

Kita semua sedia maklum akan peristiwa peristiwa selanjutnya yang menyaksikan penubuhan Negara Malaysia dari Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri dari Kesultanan Kesultanan Melayu 9 negeri yang masih bersultan dan berajakan orang orang Melayu.

Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak turut menyertai pembentukan Negara Malaysia pada 16hb September, 1963 dan kemudiannya Singapura disingkirkan dari gabungan Negara Malaysia ini 9hb Ogos, 1965.

Saya ingin merujuk kepada satu perkara yang jarang diperkatakan orang kerana melibatkan sensitiviti kenegerian.

Pulau Pinang dan Seberang Perai yang sepatutnya dikembalikan kepada penguasaan Kesultanan Kedah Darul Aman selepas Merdeka sebaliknya dibiarkan terus terabai dengan sistem Gabenor cumanya ditukar istilah gabenor tersebut kepada Yang diPertua Negeri.

Saya ada membaca bahawa Kerajaan Persekutuan Malaysia masih membayar nilai 10000 kepingan duit perak kepada Kesultanan Melayu Negeri Kedah Darul Aman sampai ke hari ini sebagai bayaran honorarium meneruskan perjanjian diantara penjajah British dengan waris Kesultanan Kedah yang ada sekarang.

Apakah patut diteruskan perjanjian tersebut padahal sang penjajah sudah lama membebaskan negara ini?

Kelesuan Kesultanan Melayu Kedah Darul Aman didalam menuntut kembali Negeri Pulau Pinang dan Seberang Perai menyebabkan Pulau Pinang dan Seberang Perai tinggal tidak bersultan lagi walaupun penjajah British telah memberikan kebebasan kepada negeri tersebut.

Sebagai anak negeri Pulau Pinang, saya terkilan dengan keadaan ini.

Namun apakan daya saya selaku seorang warganegeri pulau yang mempunyai segala tarikan dan keistimewaan ini dibiarkan sahaja oleh Duli Tuanku Sultan Kedah seperti anak pungut tanpa pembelaan dan perlindungan baginda?

Begitu juga nasib yang menimpa Negeri Melaka, bekas Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang pernah gah pada suatu ketika dahulu dengan kehebatan penguasaan Kesultanan Melayu Melaka diserantau Asia ini.

Kenapa tidak ada usaha waris waris Kesultanan Melayu Melaka untuk menuntut kembali penguasaan keatas Negeri Melaka dan jajahan takluknya?

Bak kata pepatah, 'Hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih!'

Apakah lagi masaalah Kesultanan Melayu Kedah dan waris waris Kesultanan Melaka untuk kembali menguasai hak hak Kesultanan Kesultanan Melayu tersebut?

Dengan adanya sikap malu alah Kesultanan Melayu demikian, maka tidak hairanlah saya melihat satu persatu kedaulatan Negara Malaysia ini dicabar dan dirampas oleh Republik Rakyat Singapura dan negara negara lain disekelilingnya?

Tragedi penyerahan Pulau Batu Putih oleh Mahkamah Dunia kepada Singapura adalah satu tamparan yang amat hebat kepada institusi Kesultanan Melayu Negeri Johor Darul Takzim.

Tuntutan demi tuntutan keatas wilayah wilayah Negara Malaysia ini dilakukan oleh negara negara serantau kita kerana Kerajaan Persekutuan Malaysia diterajui oleh pemimpin pemimpin yang lemah dari segi kemantapan pemerintahan mereka dan keadaan ini sedang berterusan sampai ke saat ini.

Semasa Perdana Menteri Malaysia yang pertama berkuasa, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Singapura diserahkan kepada Lee Kuan Yew, memulakan zaman kelemahan pemerintahan Kesultanan Kesultanan Melayu Semenanjung.

Sepatutnya Singapura dituntut kembali oleh Kesultanan Melayu Johor namun seperti kita sedia maklum Kesultanan Kesultanan Melayu tidak tegas dan berani mempertahankan hak dan kedaulatan masing masing.

Semuanya seolah menghidap penyakit letih dan lesu didalam mempertahankan kedaulatan jajahan takluk masing masing dan terkena sindrom 'SiLuncai dan labu labunya!'.

Perdana Menteri ke4, Tun Dr.Mahathir Mohamad telah melemahkan lagi institusi Kesultanan Melayu dengan mencabut kekebalan Kesultanan Melayu dari tindakan mahkamah dengan mengujudkan Mahkamah Khas untuk membicarakan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Sultan Melayu dan Kerabat di Raja diatas sebarang pelanggaran undang undang oleh mereka.

Namun semuanya itu telah berlalu dan negara kita kini berhadapan dengan krisis politik dalaman terutamanya dizaman pemerintahan Datuk Seri Abdullah Badawi.

Malaysia kehilangan sebuah pulau diperairan negara kita kepada Republik Singapura akibat kelesuan pihak pemerintah menjaga kedaulatan negara ini dengan bertanggungjawab seperti sepatutnya.

Sekarang Singapura sudah menuntut zon eksklusif perairan sekeliling Pulau Batu Putih dan besar kemungkinan akan memulakan kerja kerja menambak kawasan pinggiran pulau yang tidak seberapa besar itu sedikit demi sedikit dan menubuhkan pengkalan tentera lautnya disitu jika dibiarkan oleh Mahkamah Dunia selaku tuan tanah baru pulau tersebut.

Salah siapa?

Siapakah pemerintah Kerajaan Malaysia sekarang?

Tidak lain tidak bukan Abdullah Badawi yang merupakan Perdana Menteri segaya Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew dahulu.

Zaman Mahathir walaupun beliau seorang autoritarian namun negara asing tidak berani main main dengan Malaysia.

Zaman Abdullah Badawi menyaksikan kedaulatan negara kita semakin terhakis dan hilang satu demi satu jajahan takluk negara bekas empayar Kesultanan Melayu Melaka.

UMNO yang sibuk berpesta pora dengan seribu satu program dan konsert konsert hiburan ternyata tidak berupaya memelihara saki baki hakmilik negara ini dan bertindak zalim terhadap sesama warganegara.

PAS perlu berhati hati agar tidak terkena penyakit yang sama dengan memantapkan pembinaan sahsiah Kerajaan Pakatan Rakyat tanpa menyerahkan lagi seinci bumi Malaysia ini kepada negara asing.

Hakikat yang sedang berada dihadapan kita adalah kemerosotan dan penghakisan nilai nilai murni umat Melayu Islam disebalik cogan cogankata yang lebih merupakan retorik semasa dari penghayatan sebenar jatidiri anak watan tempatan seperti apa yang di-impikan mereka yang masih berpijak dibumi nyata sebagai pewaris pendekar dan pejuang negara dahulu.

Kemelut politik negara dan kelesuan Kesultanan Kesultanan Melayu ini harus dihentikan dan semua pihak yang terlibat mengambil kira nasib dan masadepan warga bumi bertuah ini dari terus hilang dirampas musuh musuh negara tercinta.

UMNO dan PAS dikatakan sedang didalam proses bermuqabalah demi perpaduan Melayu dan kedaulatan Islam namun jika diselidiki sedalam dalamnya semua nya berpalit dengan kerisauan UMNO terpinggir dari penguasaan keatas Kerajaan Persekutuan Negara Malaysia ini didalam Pilihanraya ke13 yang akan datang akibat petualangan mereka sendiri selama ini yang rakus mengisi tembolok masing masing diatas tiket Ketuanan Melayu yang digembar gemburkan sekian lama ini.

Hakikatnya Ketuanan Melayu itu terhakis akibat sikap dan sifat orang orang Melayu dan Kesultanan Kesultanan Melayu itu sendiri.

Ingat akan peribahasa Melayu lama, ' Beringat sebelum kena; berjimat sebelum habis!'.

Namun adakah orang orang Melayu didalam UMNO ataupun PAS benar benar sedar akan keadaan ini atau akan terus bertelagah diantara satu sama lain sementara sang petualang diam diam menghakis dan mencuri apa yang tinggal sebagai tikus menebuk guni digudang beras sementara sang pengawal tidur berdengkur?

Jika mahu mengelak negara ini berkeadaan 'Menang Sorak ; Kampong Tergadai' maka bangunlah wahai warganegara dan pemerintah semasa dari lamunan masing masing.

'Biduk lalu kiambang bertaut'. Singkirkan syak wasangka dan bersatu teguh membina semula ukhuwah Islamiyah demi perpaduan dan kesejahteraan sejagat.

Jika keburukan yang hendak dicari maka nescaya akan terserlah seribu satu kelemahan dan kepincangan masing masing!

Cuba cuba mencari kebaikan dan kelebihan sesama ummah, pasti kan bertemu kelebihan dan kekuatan yang di-idami.

Insya Allah.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatulillahi Ta'ala Wabarakatuh.
Post a Comment