Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

Read N Write Ad

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Tuesday, August 19, 2008

YB Zulkifli Noordin -Kenyataan Media berkenaan Protes Forum Majlis Peguam


ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU



Pusat Khidmat Rakyat, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu,

No. 6J, Tingkat Atas, Jalan Belibis, 09000 Kulim
Tel: 04-4956145 Fax: 04-4957146

Email: aduan4kulim@yahoo.com

Web: http://zul4kulim.blogspot.com

MEMARTABATKAN ISLAM: SUATU PERJUANGAN
Isnin: 16 Sya’ban 1429 / 18 Ogos 2008

Pelbagai pihak telah membuat kenyataan berdasarkan fakta yang diputarbelitkan berkenaan Himpunan Aman Umat Islam pada pagi Sabtu 07 Sya’ban 1429 / 09 Ogos 2008 dengan memberi gambaran seolah-olah Forum Artikel 121 (1A) anjuran Majlis Peguam telah dicerobohi oleh umat Islam yang kononnya merempuh masuk ke dalam auditorium Majlis Peguam. Saya terutamanya didakwa kononnya mengetuai pencerobohan tersebut.

Terlebih dahulu izinkan saya menerangkan bahawa Forum Artikel 121 (1A) tersebut telah mendapat bantahan pelbagai lapisan umat Islam sebelum ianya bermula lagi.

Pelbagai kenyataan daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri kabinet, para mufti dan ulama’, pertubuhan-pertubuhan Islam yang mengutuk forum tersebut dan menasihatkan ianya tidak di adakan.

Malahan Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan forum tersebut tidak sesuai diadakan secara terbuka.

Kemuncaknya adalah apabila beberapa NGO Islam dengan restu Sahibus Samahah Datuk Mufti Negeri Perak sepakat menghantar satu memorandum pada petang Jumaat 06 Sya’ban 1429 / 08 Ogos 2008 mendesak Majlis Peguam supaya menghentikan cadangan mengadakan forum tersebut.

Majlis Peguam tidak mengendahkan desakan-desakan tersebut, sebaliknya mengambil sikap angkuh mengenepikan desakan umat Islam dan dengan bongkak menyatakan akan meneruskan forum tersebut. Majlis Peguam meneruskan forum tersebut dengan pengetahuan penuh akan bantahan dan rasa tidak puas hati umat Islam.

Pada pagi Sabtu 07 Sya’ban 1429 / 09 Ogos 2008, saya telah hadir Himpunan Aman Umat Islam tersebut mewakili pertubuhan Peguam Pembela Islam (PPI) sebagai salah seorang Ahli Exco PPI.

Saya dengan jelas dalam ucapan menyatakan saya tidak mewakili Parti Keadilan Rakyat atau mana-mana parti politik.

Saya berdiri pagi itu dengan nama ALLAH dan sebagai seorang Muslim yang prihatin.

Oleh itu saya menolak ungkapan golongan yang berfikiran sempit yang mempolitikkan kehadiran saya. Ini adalah soal maruah umat Islam.

Oleh kerana itulah pagi itu umat Islam dari pelbagai latar belakang dan ideology hadir dalam Himpunan Umat membantah forum tersebut.

Tidak kurang daripada 29 NGO Islam turut serta termasuk PPI, Pembela Islam, PKPIM, Pekida, PPIM, GPMS, ABIM, Muslim Bloggers Alliance.

Malahan wakil parti politik juga turut hadir termasuk PAS dan UMNO.

Kesatuan umat Islam pada pagi itu jelas membuktikan isu ini adalah isu umat Islam.

Walaupun pada peringkat awal pagi jumlah yang hadir hanya sekitar 500 sahaja, tetapi menjelang pukul 9.00am jumlah tersebut makin ramai. Para hadirin mula mendengar ucapan-ucapan pimpinan yang hadir. Malah mereka mula berzikir dan bermunajat.

Saya melihat himpunan tersebut sudah mula menjadi resah apabila Majlis Peguam masih tidak menghentikan forum tersebut. Saya yakin pada waktu itu sekiranya tiada apa-apa dilakukan untuk menghentikan forum tersebut kemungkinan besar perkara buruk boleh berlaku. Sudah kedengaran suara-suara mendesak supaya dirempuh sahaja forum tersebut.

Pada waktu itu, Ketua Polis Dang Wangi ACP Tuan Zulkarnain Abdul Rahman telah tiba. Beliau memaklumkan kepada kami bahawa beliau akan cuba berunding dengan pihak Majlis Peguam. Beliau juga memberi amaran kepada himpunan tersebut supaya tidak mengambil tindakan merempuh bangunan Majlis Peguam tersebut.

Sekitar 9.15am, Tuan KPD telah turun dan memaklumkan kepada kami bahawa Majlis Peguam bersetuju menghentikan forum tersebut pada 09.45am.

Beliau mengarahkan himpunan supaya beredar ke belakang.


Bagaimanapun, pada sekitar 09.30am, para hadirin dimaklumkan bahawa Majlis Peguam telah menyambung dan memulakan pusingan kedua forum tersebut.

Ini menyebabkan para hadirin mula mengesyaki Majlis Peguam cuba berbohong dan tidak akan menghentikan forum tersebut saperti yang dijanjikan.

Pada waktu itu, para hadirin sudah melebihi 1,000 orang; dan ianya semakin ramai. Diwaktu yang sama, sahabat-sahabat memberitahu saya ada tiga bas lagi sedang dalam perjalanan dan sudah tiba disekitar Dataran Merdeka.

Himpunan tersebut sudah hampir keperingkat tidak boleh dikawal. Saya cukup yakin mereka akan merempuh bangunan Majlis Peguam pada bila-bila masa.

Ketika itu Setiausaha Majlis Peguam Sdr. Lim Chee Wee dan Setiausaha Kerja Sdr. Rajen telah turun kebawah.

Mereka melahirkan kekhuatiran yang himpunan tersebut akan merempuh forum tersebut. Lalu mereka meminta saya untuk naik ke atas untuk memastikan dan mengesahkan bahawa forum tersebut akan dihentikan pada jam 10.00am.

Mereka meminta saya mengawal himpunan tersebut dan menghalang mereka dari merempuh forum.

Saya percaya mereka berbuat sedemikian kerana mereka mengenali saya sebagai peguam dan pernah menjadi ahli Exco Majlis Peguam.

Malahan mereka meletakkan keyakinan kepada saya dengan menyatakan “the crowd will listen to you”.

Saya kemudian berbincang dengan sahabat-sahabat termasuk YB Sdr. Sallahuddin Ayob, Sdr. Ust. Badrul Amin, Sdr. Ust. Norazli Musa, Sdr. Jais dan lain.

Kami semua sepakat supaya saya memenuhi jemputan Sdr. Lim Chee Wee dan naik ke atas sekadar untuk mengesahkan bahawa forum tersebut telah dihentikan.

Untuk tujuan keselamatan, saya naik diiringi oleh tiga orang sahabat dan dikawal oleh pihak polis.

Sementara YB Sdr. Sallahuddin dan Sdr. Ust Badrul Amin diminta mengawal himpunan dibawah.

Maka oleh itu tidak timbul soal saya merempuh masuk kedalam auditorium Majlis Peguam tersebut.

Sebaliknya saya telah dijemput oleh Sdr. Lim Chee Wee untuk mengesahkan penutupan forum tersebut supaya Himpunan Aman tersebut akan bersurai dan tidak merempuh bangunan Majlis Peguam.

Cuma sedikit kekecohan berlaku apabila ada diantara peserta forum memaki dan mengeluarkan kata-kata menghina dan kesat terhadap Sdr. Jais. Keadaan telah ditenteramkan oleh pihak polis.

Sepanjang berada didalam forum tersebut sekitar lima minit, saya tidak mengeluarkan sebarang perkataan atau melakukan apa-apa tindakan.

Cuma apabila Sdr. Lim Chee Wee, Sdr. Rajen dan Sdr. Edmund Bon meminta lanjutan masa, saya menegaskan bahawa mereka telah berjanji akan menghentikan pada jam 10.00am dan forum tesebut perlu dihentikan pada masa itu.

Ini adalah kerana himpunan tersebut telah dimaklumkan bahawa jika saya tidak muncul diperkarangan bangunan jam 10.00am, mereka akan merempuh bangunan tersebut.

Alhamdulillah kesemuanya berjalan lancar. Lebihkurang jam 10.00am, Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga mengumumkan penutupan majlis forum tersebut.

Saya kemudiannya memaklumkan kepada wakil himpunan dibawah bahawa forum telah dihentikan. Pihak penganjur kemudian meminta jaminan bahawa peserta forum diberi perlindungan keselamatan untuk keluar daripada bangunan tersebut.

Setelah berunding dengan sahabat-sahabat dan pihak polis, saya memberikan jaminan tersebut. Malahan saya dimaklumkan ketika itu bahawa pihak polis telahpun membuat ruang untuk para peserta forum keluar daripada bangunan tersebut dengan selamat. Kesemua peserta telah berjaya meninggalkan bangunan tersebut tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Adalah jelas daripada gambaran peristiwa di atas bahawa dakwaan saya merempuh bangunan Majlis Peguam dan menceroboh forum tersebut adalah dusta dan putarbelit fakta sama sekali.

Saya kira ada pihak tertentu yang mempunyai agenda kepentingan masing-masing telah cuba menangguk di air keruh dengan cuba menyelewengkan fakta tanpa mengira kesan dan implikasi dakwaan tersebut kepada masyarakat umumnya dan kepada umat Islam khasnya.

Dalam hal ini, timbul persoalan mengapa himpunan aman umat Islam untuk mempertahankan maruah Islam dikatakan sebagai ganas dan berunsur teroris ala Taliban.

Sedangkan umat Islam yang hadir dengan aman pagi itu adalah daripada pelbagai lapisan dan latarbelakang. Kami telah berjaya mengenepikan sentimen politik masing-masing.

Kami bersatu dibawah satu suara Islam. Ianya adalah kesatuan umat Islam diatas satu aqidah.

Umat yang tidak rela Islam diperkotak-katikkan, umat yang rela berdepan dengan apa sahaja demi mempertahankan maruahnya.

Mengapa mereka begitu mudah melabel himpunan umat Islam tersebut sebagai ganas?

Bagaimana dengan tindakan sesetengah pihak mengadakan demonstrasi sehingga mencederakan anggota keselamatan?

Ada yang sanggup melanggar polis dengan kenderaan, ada yang membaling batu..malahan ada yang sampai menggigit anggota keselamatan.

Bagaimana dengan demonstrasi yang dibuat sehingga melumpuhkan bandaraya Kuala Lumpur?

Bagaimana pula dengan demonstrasi jelek sehingga mengadakan konsert pamer-punggong?

Apakah ini semua dihalalkan hanya kerana ditopengkan dengan nama perjuangan hak asasi kemanusiaan?

Apakah slogan “human rights” menghalalkan segala-galanya?

Apakah umat Islam tidak ada hak untuk mempertahankan addeennya?

Saya percaya Majlis Peguam bukannya berminat untuk mencari kebenaran. Mereka bukannya mahu berdialog. Malahan rentetan pendirian terdahulu Majlis Peguam dengan jelas memberikan persepsi bahawa mereka adalah golongan anti Islam.

Penglibatan Majlis Peguam menerajui gerombolan yang mahukan penubuhan Inter-Faith Commission yang mencabar Islam, penglibatan Majlis Peguam didalam kes-kes kontroversi membabitkan isu murtad saperti kes Azlina Jailani @ Lina Joy, kes nabi palsu Pak Kahar, kes S. Shamala dan Subashini, kes perebutan jenazah Mohd. Rayappan Abdullah dan Mohd. Moorthy Abdullah, mengadakan forum Kontrak Sosial yang mempertikaikan hak istimewa Muslim, forum mempertikaikan Artikel 121 (1A) dan bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam hal “kemasukan & kemurtadan (conversion & apostacy)” dan lain-lain sikap anti-Islam yang terbukti dikalangan Majlis Peguam.

Malahan Majlis Peguam sudah diberi ruang yang cukup luas untuk mengemukakan pendapat dan hujjahnya.

Majlis Peguam melalui Jawatankuasa Keluarga diberi representasi yang secukupnya didalam Jawatankuasa Peguam Negara membincangkan pindaan kepada beberapa undang-undang khususnya membabitkan isu keluarga termasuk yang “convert” kepada Islam.

Majlis Peguam turut menghantar peguam pemerhati didalam beberapa kes kontroversi, malahan turut mengambil pendirian yang partisan dalam isu seperti murtad dalam kes Lina Joy, walaupun lebih 40% peguam adalah beragama Islam.

Peguam pemerhati Majlis Peguam diberi ruang secukupnya dalam kes Lina Joy untuk mengemukakan hujjah mereka untuk membenarkan orang Melayu boleh murtad dibawah Artikel 11 Perlembagaan.

Mereka diberi peluang secukupnya untuk berhujjah mempertikaikan bidangkuasa Mahkamah Syariah semasa perbicaraan kes Lina Joy.

Malahan Majlis Peguam diwakili oleh peguam kanan dan ternama, ada diantaranya dikatakan beragama Islam.

Selepas mendengar hujjah pihak-pihak selama beberapa hari dengan rujukan yang bertimbun dan dokumen yang berjilid-jilid, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa dalam hal ehwal Islam termasuk “kemasukan & kemurtadan (conversion & apostacy)”, ianya hendaklah diputuskan menurut undang-undang Islam dan Mahkamah yang kompeten dan berbidangkuasa untuk membicara dan memutuskan hal seumpama itu adalah Mahkamah Syariah yang melaksanakan undang-undang Islam menurut Artikel 121 (1A).

Bermakna Mahkamah Tertinggi dinegara ini telahpun membuat keputusan dalam perkara yang cuba hendak diforumkan!!

Sepatutnya Majlis Peguam sebagai mewakili badan guaman menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

Kalau mereka sebagai peguam pun tidak mengerti menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, mengapa kita perlu menghormati mereka?

Majlis Peguam telah diberi ruang secukupnya untuk mengemukakan pendapat dan hujjahnya, samada didalam majlis dialog, seminar, forum termasuk perbicaraan di Mahkamah.

Maka forum yang cuba dianjurkan oleh Majlis Peguam tersebut pada saya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan. Ianya memberi persepsi bahawa Majlis Peguam mempunyai niat lain dalam menganjurkan forum Artikel 121 (1A) tersebut.

Saya tidak pernah menghalang sebarang dialog kearah memahami antara agama. Malahan saya sendiri sudah acap kali berdialog terutama dengan Majlis Peguam. Sudah beberapa kali sebagai ahli exco Majlis Peguam saya berdialog mengenai Islam.

Pernah saya mewakili Jawatankuasa Syariah Majlis Peguam mengadakan beberapa dialog dengan Jawatankuasa Keluarga Majlis Peguam.

Saya pernah menghadiri dialog dengan Majlis Perunding Agama Hindu Kristian Buddha & Sikh yang dianjurkan oleh Suhakam. Saya tidak menentang dialog dan perbincangan inter-agama.

Apa yang saya tentang ialah cubaan untuk mengadakan perbincangan terbuka intra-agama Islam; tambahan kalau yang menganjurnya adalah dari kalangan bukan Islam.

Disebabkan itulah saya melibatkan diri dalam NGO dan gerakan Islam. Sejak zaman pelajar lagi saya telah terlibat dengan badan-badan Islam sehingga pernah menganggotai jawatankuasa International Muslim Association of New Zealand.

Apabila timbul isu murtadnya Azlina Jailani @ Lina Joy, saya dan sahabat telah menubuhkan sebuah badan yang dikenali sebagai Peguam Pembela Islam (PPI).

Ianya satu badan yang dianggotai oleh peguam-peguam kanan beragama Islam untuk tujuan memberikan perkhidmatan guaman bagi menangani kes-kes murtad dan berkaitan Islam serta membela dan mempertahankan Islam terutamanya dari segi perlembagaan dan perundangan.

Saya sudah aktif didalam PPI sejak sebelum menjadi Ahli Parlimen lagi!

Perjuangan saya untuk Islam terutama dari segi perundangan dan perlembagaan sudah menjadi pengetahuan umum. Dan saya istiqamah dan konsisten dalam perjuangan tersebut. Malahan Majlis Peguam sendiri mempunyai pengetahuan penuh akan penglibatan saya sebagai pejuang Islam.

Malahan semasa kempen pilihanraya ke 12 baru-baru ini, dimana saya telah bertanding di Parlimen Kulim Bandar Bharu. Saya telah diarahkan untuk membuka kopiah kerana kononnya khuatir pengundi bukan Islam tidak akan mengundi saya.

Saya tidak menurut arahan tersebut; malahan saya menyatakan secara terbuka bahawa para pengundi perlu mengundi saya sebagaimana saya sedia ada.

Saya bukannya orang yang mahu bersandiwara dan berlakon dihadapan pengundi dan rakyat Malaysia. Hampir seluruh negara mengetahui saya adalah peguam yang berkopiah.

Malahan semasa perbicaraan kes sensasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim saya dikenali dikalangan wartawan luarnegara sebagai “the kopiah lawyer”.

Saya tetap dengan penampilan berkopiah walaupun semasa dijemput memberikan ucapan samada di University of Columbi New York, London School of Economics, Cambridge University dan lain-lain program luar negara.

Saya dengan jelas tanpa ragu-ragu berdiri dihadapan pengundi di Parlimen Kulim Bandar Bharu bahawa asas perjuangan saya adalah Islam.

Islam mengajar saya bahawa keadilan adalah untuk semua.

Atas nama Islam, saya memperjuangkan nasib kaum India pekerja estet di Kulim Bandar Bharu yang tertindas sekian lama.

Saya janjikan pembebasan semua tahanan ISA termasuk dari Hindraf sekiranya Pakatan Rakyat memerintah kerana ianya adalah ajaran Islam.

Saya janjikan agihan ekonomi dan kekayaan negara yang adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum kerana Islam menuntut saya berbuat demikian.

Saya janjikan kepada bangsa Melayu bahawa nasib mereka akan dibela kerana itu adalah tuntutan Islam.

Rakyat Kulim Bandar Bharu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya mengetahui bahawa asas perjuangan saya sememangnya Islam.

Oleh itu saya percaya dan yakin bahawa rakyat Kulim Bandar Bharu dapat menilai keadaan sebenar dan membuat keputusan yang bijak.

Di akhir kalam, saya menyerahkan kepada ALLAH untuk menentukan masa depan saya.

Diluar sana kedengaran juga suara-suara sumbang yang mengugut untuk mengambil tindakan disiplin terhadap saya atas perjuangan saya menmpertahankan Islam.

Apa yang saya kesalkan suara-suara sumbang inilah yang kononnya memperjuangkan keadilan.

Apakah ianya keadilan hanya bila kepentingan sendiri yang dipertahankan?

Saya langsung tidak diberi peluang mempertahankan diri sebelum kenyataan-kenyataan mengecam saya dibuat oleh mereka yang mendabik dada sebagai pejuang keadilan.

Apakah menjadi satu kesalahan untuk saya mempertahankan Islam?

Sekiranya mempertahankan maruah Islam dilabelkan sebagai teroris, saya rela dilabelkan sedemikian.

Sekiranya memperjuangkan Islam dilabelkan sebagai pengkhianat parti, saya lebih rela dilabelkan sedemikian.

Sebagai seorang Muslim, Islam adalah keutamaan saya. Islam always comes first!

Pilihan saya adalah jelas. Tidak ada sebarang keraguan atau kekeliruan mengenai pendirian saya dalam perkara Islam.

Malahan saya yakin sudah tiba masanya peruntukkan perlembagaan dan perundangan negara berkaitan Islam dimartabatkan dan diperkuatkan.

Ini adalah penting terutamanya dalam hal berkaitan kemasukan dan kemurtadan dalam Islam.

Inilah perjuangan saya.

Sebagai Ahli Parlimen, saya akan berusaha sungguh-sungguh untuk membawa perubahan kepada peruntukkan perlembagaan dan undang-undang mengenai Islam.

Secara khususnya, bagi sesi Parlimen ke 12 ini, saya akan berusaha untuk mendapatkan pindaan perlembagaan saperti berikut:

1. Artikel 3 : Islam adalah agama bagi Persekutuan termasuk dari segi undang-undang dan syariatnya;

2. Artikel 4 (1) : Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan, kecuali undang-undang dan syariat Islam, apa-apa undang yang diluluskan berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat ianya berlawanan itu;

3. Artikel 11 (1) : Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, termasuk untuk menukar agamaya kecuali bagi penganut agama Islam yang hendaklah tertakluk kepada undang-undang dan syariat Islam. Bagi maksud penganut agama Islam, soal kemasukan dan kemurtadan dari agama Islam hendaklah ditentukan oleh Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa mutlak keatasnya;

4. Jadual 9 Senarai 2 : bidangkuasa Mahkamah Syariah hendaklah termasuk antara lain … “menentukan, membicarakan, memutuskan dan menghukum soal kemasukan dan kemurtadan dari agama Islam dan perkara-perkara ancilliary yang berkaitan dengannya”.

“Di dalam perihal berkaitan sebarang kesalahan jenayah syariah yang mana peruntukkan mengenainya juga diberikan di bawah undang-undang sivil, maka bidangkuasa Mahkamah Syariah menentukan, membicara, memutus dan menghukum kesalahan tersebut menurut peruntukkan syariah dan undang-undang sedia ada yang diberikan kepada Mahkamah Syariah adalah mengatasi mana-mana bidangkuasa Mahkamah lain”.

5. Beberapa Akta dan undang-undang yang berkaitan dengan perkara-perkara diatas.

Saya percaya dan yakin bahawa untuk mengelakkan sebarang pertikaian dan kekeliruan berkaitan dengan isu-isu antara agama dimasa akan datang, sebarang keraguan didalam peruntukkan perlembagaan dan undang-undang negara dan yang berkaitan dengannya hendaklah diperbetulkan dengan segera.

Saya ingin menegaskan bahawa dalam perihal berkaitan Islam, semua peruntukkan perlembagaan dan undang-undang sedia ada perlu diperketatkan dan diperjelaskan tanpa meninggalkan sebarang ruang untuk undang-undang Islam dipertikaikan atau diperkotak-katikkan.

Saya khuatir melihat akhir-akhir ini Islam dan institusi-institusi Islam dicabar dan dipertikaikan oleh sesetengah golongan.

Keberanian mereka mencabar Islam secara terbuka bakal mengundang malapetaka yang besar terhadap Islam.

Menuntut penggunaan nama ALLAH, mendesak kebenaran penerbitan bahasa Melayu bukan Islam dibawa masuk dan diedarkan, perlaksanaan dasar-dasar yang bercanggah dengan syariat dan perundangan Islam, pengkhianatan terhadap insitusi dan hak bangsa Melayu yang beragama Islam dan banyak lagi perkara yang muncul mutakhir ini benar-benar mencabar umat.

Saya sangat berharap institusi dan badan yang dipertanggungjawabkan untuk membela dan mempertahankan Islam supaya bangkit dan pertahankanlah Islam.

Umat Islam mengharapkan peranan lebih besar dan berkesan di ambil oleh Ke Bawah Duli Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja, para Mufti dan ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, para ulama’ dan cendikiawan Islam, pihak berkuasa dan keselamatan termasuk Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain badan dan institusi yang ujud dalam negara ini.

Saya menyeru dan mengajak seluruh umat Islam yang menyintai Islam, daripada Ke Bawah Duli Raja-Raja Melayu, para Mufti & ulama dan lain-lain supaya bersama dengan saya dalam perjuangan murni ini.

Sudah tiba masanya Islam dan syariatnya dimartabatkan dalam sistem perundangan negara.

Kita umat Islam sudah lama tertindas dengan sistem dan perundangan yang bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam.

Dalam berbuat sedemikian bukan bermakna kita memaksa bukan Islam menerima Islam. Kita cuma mahukan Islam dilaksanakan ke atas kita umat Islam.

Kita menuntut umat Islam diberi hak mengamal dan melaksanakan cara hidup dan sistem perundangan Islam. Mereka yang bukan Islam berhak kepada agama, cara hidup dan sistem pilihan mereka sendiri.

Kita tidak perlukan orang bukan Islam dan yang sewaktu dengannya mengajar kita bagaimana hendak hidup dan melaksanakan Islam?

Sekiranya tiba suatu ketika kita dituntut memilih diantara wadah dan aqidah, maka saya seru diri saya dan diri saudara-saudari supaya memilih aqidah. Ketepikan sentimen politik kepartian, dan bangkitlah pertahankan Islam.

Ingatlah, setiap daripada kita bertanggungjawab memperjuangkan dan mempertahankan Islam; dan kita akan disoal kelak akan peranan kita dalam perkara ini di akhirat kelak.

Moga ALLAH memberi keampunanNya dan kekuatan kepada kita insya ALLAH. Moga ALLAH persaksikan.


Yang benar
Zulkifli bin Noordin

Isnin: 16 Sya’ban 1429 / 18 Ogos 2008

*************************************************************************************

Laporan berkaitan disini, disini dan disini.
Post a Comment