Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

Read N Write Ad

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Saturday, March 07, 2009

Bahasa Jiwa Bangsa - Apakah Melayu Sudah Lupa?

Assalamualaikum.

Wahai anak watan warganegara Melayu Malaysia.

Agak sedih hati saya tatkala membaca liputan berita dan laporan blog blog semasa tentang tindakan pihak Polis Simpanan Persekutuan menembak gas pemedih mata terhadap anak bangsa yang berhimpun membantah penerusan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Apa ke pulak halnya sampai pihak FRU perlu menembak gas pemedih mata terhadap rakyat negara ini yang memprotes terhadap keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga sampai ke dalam kawasan Masjid Negara?

Perkara mencemar kesucian masjid ini jangan buat main main wahai pasukan Polis Simpanan Persekutuan!

Silap haribulan natijahnya akan terlalu berat untuk tuan tuan tanggung.

Itu rumah Allah Subhanahu Wa Ta'ala tuan tuan.

Bukan sembarangan bangunan!

Saya harap sangat sangat supaya hentikan lah kerja terlampau ini. Apakah salahnya membiarkan rakyat warga negara ini menyuarakan bantahan mereka secara aman?

Apa salahnya dibiarkan anak bangsa Melayu berdiri mempertahankan hak anak watan untuk dijulang Bahasa Melayu sesuai sebagai Bahasa Kebangsaan negara kita?

Apa sangat yang perlu dikhuatirkan sehingga orang tua seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said perlu ditahan oleh polis?


















Apa Datuk Samad Said mengajak para demonstran merusuh ke apa atau menggulingkan kerajaan?
















Saya memohon pihak pegawai tertinggi FRU dan PDRM untuk mengambil jalan kesederhanaan didalam menangani demonstrasi aman oleh orang orang awam negara kita.

Sudah sudahlah menzalimi warganegara kita.

Mereka tidak membahayakan para pembesar negara.

Belum lagi ke tahap itu wahai ketua ketua polis yang saya tujukan penulisan ini.

Ingat ingatlah sedikit bila memberi arahan itu. Yang turun menunjuk perasaan itu manusia seperti tuan tuan juga. Ada isteri dan anak. Ayah. Ibu, Abang. Kakak. Adik dan sebagainya.

Mereka yang berkumpul itu siapa?

Penjenayah atau pembela bangsa?

Perompak, penyamun dan pencuri atau anak bangsa yang prihatin tentang kesejahteraan bahasa kebangsaan kita?

Apakehalnya sampai nak kena tembak gas pemedih mata kearah orang orang yang hanya menuntut supaya Kementerian Pendidikan kembali mengajar matapelajaran Sains dan Matematik didalam Bahasa Kebangsaan kita?

Saya tak nampak perlu nya pihak FRU menghabiskan peruntukan kewangan untuk gas pemedih mata itu terhadap warganegara yang tidak merbahaya seperti Datuk A Samad Said dan ribuan manusia lain didalam protes bahasa tadi?

Tolonglah! Ada penjenayah merbahaya lain yang patut tuan tuan kejar dan tangkap!

Bukannya Sasterawan Negara kita!

Zainol Abideen @ Mahaguru58
Bandar Kuantan,
Pahang Darul Makmur.

Dengarlah suara hati nurani A. Samad Said
Abdul Shukur Haron | Foto Nasir Sudin

Image“Kalau ada calon (dalam pilihan raya nanti) yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak mengundi mereka.”

Sukar untuk digambarkan bagaimanakah rupanya manusia atau kumpulan manusia yang dikatakan ‘bertelinga satu, berlidah dua’. Adakah ia manusia atau manusia jadi-jadian? Adakah ia Dinasour yang membaham semua yang ada disekelilingnya?

Yang nyata manusia atau pemimpin yang bertelinga satu dan berlidah dua ini sangat hodoh, menakutkan di samping menjadi bahan tertawaan.

Di kampung dulu, saya sering terserempak dengan pelbagai jenis ular- ular sawa, ular tedung, ular senduk dan pelbagai ular lagi. Jenis biawak dan ularlah yang berlidah dua atau lidah bercabang. Dalam konotasi bahasa Melayu, ‘lidah bercabang’ ini mempunyai maksud negatif. Ia seorang yang hypokrit atau berpura-pura, dengan kumpulan ini cakap lain, dengan kumpulan itu cakap lain.

Sementara itu, manusia bertelinga satu memang sukar ditemui. Namun bertelinga satupun masih boleh mendengar, kalau telinga yang satu itu benar-benar berfungsi. Kalau yang satu itupun tidak berfungsi, maka ia tidak akan mendengar apapun suara. Saya terkesan dengan phrasa ini ketika mengikuti pandangan sahabat lama saya, Sasterawan Negara A. Samad Said dalam wawancaranya yang disiarkan dalam Fikrah, sisipan akhbar Harakah baru-baru ini.

Beliau sangat marah dengan pemimpin yang ‘bertelinga satu, berlidah dua’, ketika merujuk kepada bantahan kerasnya bersama para tokoh bahasa, penulis dan intelektual serta pelbagai NGO terhadap langkah kerajaan meneruskan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris seperti sekarang.

Langkah ini, bagi A. Samad Said, adalah usaha penguncupan bahasa Melayu. Justeru itu dengan nada keras beliau berkata, “Kalau ada calon (dalam pilhian raya nanti) yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak mengundi mereka.” Beliau lalu bertanya, “mengapa kita pilih mereka yang mahu menguncupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan tidak mengundi mereka.”Sasterawan Negara itu menyifatkan pemimpin yang mahu meguncupkan bahasa Melayu sebagai ‘pemimpin bertelinga satu, berlidah dua’.

Saya mengenali A. Samad A. Samad Said sejak lebih empat puluh tahun lalu semasa di Singapura. Sejak di Singapura lagi hinggalah berpindah ke Kuala Lumpur sebagai wartawan dan pengarang akhbar, saya mendapati Sasterawan Negara ini sangat prihatin teradap Bahasa Melayu.

Beliau bersama rakan-rakan sasterawan/wartawan yang lain, Kris Mas, A. Samad Ismail, Usman Awang, Asraf Haji Abd Wahab, Prof. Muhamad Haji Saleh dan lain-lain begitu gigih memperjuangkan bahasa Melayu. Bahkan, untuk puluhan tahun, melalui akhbar yang dipimpinnya serta melalui cerpen, novel dan puisinya, beliau ‘membelai’ bahasa Melayu dengan segala kecintaannya. Kepadanya, bahasa Melayu menjadi pentas untuk dia berkarya, menyampaikan pesan hati nuraninya.

Sasterawan Negara itu begitu banyak membaca karya berbahasa Inggeris di samping mentelaah tafsir Al-Quran, Sejarah Nabi s.a.w., membaca karya Ibnu Khaldun, Al-Farabi, menekuni puisi Iqbal dan lain-lain. Dialah yang memperkenalkan dan mendorong saya dan kawan-kawan penulis membaca karya novelis Barat - Ernest Hemmingway, Joseph Conrad, Honor De Balzac, Leo Tolstoy di samping karya William Shakespeare dan lain-lain.

Malah beliau juga banyak membaca karya pengarang China, India, Latin Amerika dan Arab yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu, sementara pendedahannya kepada karya sasterawan Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer, Chairil Anwar, Iwan Simatupang, Idrus, Mochtar Lubis, Goenawan Muhamad, W.S. Rendra, Taufek Ismail dan lain-lain sangat luas.

Perjuangan Keranda 152

Justeru itu tentu sangat istimewa, seorang sasterawan sepertinya yang sangat luas pembacaannya, khususnya dalam bahasa Inggeris, menjadi salah seorang tokoh pejuang bahasa bahasa Melayu. Justru kerana ia tahu bahawa bahasa Melayu adalah pengucapan hati nurani bangsanya.

A. Samad Said sangat sedar akan tanggungjawabnya mempertahankan bahasa ibundanya walau dalam apa keadaanpun. Justru itu tentulah dia sangat kesal akan nasib bahasa Melayu yang semakin menguncup di tangan pemimpin elit politik yang berkuasa, sedangkan para pejuang bahasa dan rakyat prihatin berhempas pulas sejak puluhan tahun, mempertahankan bahasa ibunda.

Saya dapat mengertikan kekecewaan Sasterawan Negara ini dan temannya yang lain berdepan dengan situasi begini, sedangkan Kongres Bahasa Melayu sudah banyak kali diadakan sejak 1952 lagi. Setiap kali Kongres tersebut diadakan, resolusinya, antara lain, usaha memperkukuh bahasa Melayu, malangnya usaha tersebut terhalang oleh tindakan elit politik.

Lebih tiga puluh tahun lalu di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka, di mana saya turut menyaksikan, bagaimana para pejuang bahasa berkumpul untuk mempertahankan marabat bahasa Melayu yang mulai diabaikan. Mereka mengusung ‘Keranda 152′ sebagai simbolis protes terhadap langkah mminggirkan bahasa Melayu.

Memimpin gerakan ini ialah Tun Syed Nasir Ismail, sementara yang turut hadir di majlis tersebut, antara lain, Kris Mas, Usman Awang, A. Samad Ismail, A. Samad Said, Asraf Abd Wahab, Tan Sri Ismail Hussein, Prof. Zainal Abidin Wahid dan para pejuang bahasa yang lain.

‘Keranda 152′ ialah simbolis angka dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan kedudukan bahasa Melayu dijamin menurut Peruntukan 152.

Seperti terdengar suara bantahan dan puisi Usman Awang yang dibacakan pada malam bersejarah di Balai Budaya itu. Enam tahun lalu ketika pemimpin yang berkuasa memutuskan pengajaran sains dan matematik hanya dalam bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda, konon untuk memahirkan pelajar berbahasa Inggeris, para pejuang bahasa dan rakyat prihatin sekali lagi menyatakan bantahan dengan kerasnya. Namun bantahan itu seperti tidak didengar oleh ‘pemimpin bertelinga satu berlidah dua’ seperti kata A. Samad Said.

Bagaimanapun perjuangan ini tetap diteruskan. A. Samad Said tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Tokoh bahasa dan penulis seperti Dato' Dr. Hassan Ahmad, Prof. Ismail Hussein, Prof. Shahril Muhd Zain, Dinsman, Dr. Nik Safiah Karim, Ainon Muhamad, Dinsman, Bahasa Zain, Hasni Abas, Razali Endon dan ramai lagi maju ke depan bersama meneruskan perjuangan ini.

Yang menariknya, banyak NGO ikut bersimpati dengan perjuangan ini dan berganding bahu dengan GMP (Badan yang menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris). Satu perhimpunan aman GMP akan diadakan Sabtu 7 Mac ini untuk menghantar memorandum ke Istana Negara, memohon memansuhkan pengarajaran sains dan matemathik dalam bahasa Inggeris.

Inilah rangkaian sebuah perjuangan panjang yang disertai oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said. Seperti kata ahli falsafah, ‘perjuangan tidak pernah sia-sia.’ - azm

Post a Comment