Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

Read N Write Ad

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Sunday, November 08, 2009

Sultan Sultan dan Raja Melayu sebagai Ketua Agama harus bersuara!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Para pembaca sekelian.

Saya ingin merujuk kepada perkembangan terkini didalam negara yang membabitkan perkara perkara berkaitan Agama Islam dan masaalah ummah.

Menurut teks rasmi JAKIM kedudukan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dimahsyurkan sebagai Ketua Agama Islam Malaysia :


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

" SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG
SEBAGAI KETUA AGAMA ISLAM NEGARA "

( 6 Jun 2008M / 2 Jamadil Akhir 1429H )

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketaqwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat.

Sempena dengan hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada 7 Jun; maka tajuk khutbah pada hari ini ialah

"Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong
Sebagai Ketua Agama Islam Negara".


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam Perkara Tiga (3), Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai agama rasmi negara.

Bagaimanapun, agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Dalam usaha mengukuhkan Islam di negara ini Perlembagaan juga memperuntukkan dalam Perkara Sebelas (11) (4) bahawa diayah agama lain kepada umat Islam adalah dilarang.

Persoalan besar timbul ialah siapakah pelindung kesucian agama Islam di negara ini?

Di dalam Perlembagaan dinyatakan bahawa yang DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Wilayah Persekutuan. Manakala di negeri-negeri lain Ketua Agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

Yang Di Pertuan Agong, Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam adalah sesuatu yang amat istimewa di negara kita.

Umat Islam di negara ini amat bersyukur kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Majlis Raja-Raja dan bekas Perdana Menteri pertama iaitu Almarhum Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj yang bekerja kuat memberi kedudukan istimewa agama Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

Bagaimanapun, pada akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak tertentu cuba mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, peranan Mahkamah Syariah dan bidangkuasa Raja sebagai ketua agama dan adat istiadat Melayu di negara ini.

Persoalan besar timbul ialah mengapa keadaan ini berlaku?.

Berdasarkan pemerhatian, mimbar yang mulia ini berpendapat keadaan ini berlaku kerana:-

  1. Pertama : Umat Islam sendiri telah berpecahbelah mengikut kumpulan tertentu;
  2. Kedua : Sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama kerana kepentingan diri dan kumpulan; dan
  3. Ketiga : Terdapat umat Islam bersyubahat dengan pihak tertentu untuk mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi di negara ini atas alasan untuk mempertahankan hak asasi pihak lain.
Oleh itu, mimbar ini ingin mengingatkan sekali lagi bahawa jika umat Islam berterusan berpecahbelah, hilang integriti dan diperalatkan pihak lain; maka lambat laun umat Islam di negara ini akan menerima nasib yang malang seperti yang berlaku di sesetengah negara di mana rakyatnya diburu dan dihalau daripada tanah air mereka sendiri.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan agama. Masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi budaya dan agama mereka.

Kita amat bersyukur dan menjunjung kasih dalam suasana genting dan gawat, Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah membantu menyelamatkan ketegangan politik, menjaga kesucian Islam, adat istiadat orang Islam dan menjadi simbol perpaduan rakyat di negara ini.

Islam adalah agama Allah yang diturunkan kepada manusia. Oleh itu sebagai ketua agama Islam, memperlihatkan kepada kita bahawa amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong amatlah berat.

Maka, kita selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong hendaklah sentiasa memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada pemerintah negara.

Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 59:

59. Ya ayyuha allatheena amanoo ateeAAoo Allaha waateeAAoo alrrasoola waolee al-amri minkum fa-in tanazaAAtum fee shay-in faruddoohu ila Allahi waalrrasooli in kuntum tu/minoona biAllahi waalyawmi al-akhiri thalika khayrun waahsanu ta/weelan

59. Maksudnya: " Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

59. O ye who believe! Obey God, and obey the Apostle, and those charged with authority among you. If ye differ in anything among yourselves, refer it to God and His Apostle, if ye do believe in God and the Last Day: That is best, and most suitable for final determination.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sejak merdeka hingga kini telah terbukti bahawa institusi Raja memainkan peranan penting dalam mempertahankan Islam dan perpaduan rakyat di negara ini.

Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia hidup penuh mahabbah serta bersatupadu dengan menjunjung institusi Raja berperlembagaan.

Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh mengugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13:

13. Ya ayyuha alnnasu inna khalaqnakum min thakarin waontha wajaAAalnakum shuAAooban waqaba-ila litaAAarafoo inna akramakum AAinda Allahi atqakum inna Allaha AAaleemun khabeerun

13. Maksudnya: " Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya".

13. O mankind! We created you from a single (pair) of a male and a female, and made you into nations and tribes, that ye may know each other (not that ye may despise (each other). Verily the most honoured of you in the sight of Allah is (he who is) the most righteous of you. And Allah has full knowledge and is well acquainted (with all things).

Akhir sekali, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru para jemaah dan rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan bagi mentadbir negara dan menjalankan tugas dengan sempurna.

Kita doakan juga agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran.

Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

********************************************************************

Sidang pembaca blog Mahaguru58, saudara saudari seIslam yang dihormati sekelian.

Isi khutbah di atas yang di sediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia @ JAKIM mengajak kita mendaulatkan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah selaku Ketua Agama Islam Negara Malaysia ini.

Sebagai hamba rakyat dan warganegara Tanah Melayu yang tercinta ini, saya menjunjung kasih, taat setia ke bawah Duli Tuanku Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong di atas peranan dan kuasa baginda mempertahankan kesucian Ad Deenul Islam di tanahair kita ini.

Sudah tiba waktu dan ketikanya dimana kesekelian Duli Duli Tuanku Sultan Sultan, Raja dan Yang Di Pertuan Melayu memperkasakan diri dengan segala kefahaman dan ilmu agama Islam selayak kedudukan Tuanku sekelian sebagai 'Khalifah Allah' terutamanya bila di isytiharkan sebagai Ketua Agama Islam Negara dan di negeri negeri dibawah jajahan takluk dan perintah Tuanku!

Sekiranya Duli Tuanku Sultan, Raja dan Yang Di Pertuan Melayu tidak mahu 'kuasa' baginda tuanku sekelian di sentuh oleh para pegawai dan penguasa agama baik di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Jabatan Agama atau Exco Kerajaan Negeri seperti kes di Selangor baru baru ini, maka pada hemat patik, hamba rakyat yang insaf ini, molek benarlah Duli Tuanku sekelian selaku Ketua Agama Islam Negeri dan Negara mengambil langkah proaktif menerajui usaha meninggikan Syiar Islam didalam negeri negeri dibawah perintah dan kuasa Tuanku sekelian.

Saya kira tidak ada sebarang sekatan ke atas diri Duli Tuanku Sekelian untuk menjadi alim, warak dan arif didalam segala hal berkaitan Agama Islam sempena kedudukan dan tugas Duli Tuanku sekelian selaku Ketua Agama Islam di dalam negeri Duli Tuanku masing masing dan selanjutnya menjadi Ketua Agama Islam Negara bilamana Duli Tuanku ditabal dan di mahsyurkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Malaysia bila tiba giliran Duli Tuanku nanti.

Namun saya tertanya tanya akan bilakah agaknya Duli Tuanku Yang Di Pertuan Agong serta ke bawah Duli Duli Tuanku Sultan Sultan, Raja dan Yang Di Pertuan Melayu sekelian akan mula bersuara, mencantas dan mengajar pihak pihak kuffar dan munafiq serta yang musyrik didalam negara ini agar tidak memperkotak katikkan kedudukan Al Islam didalam kehidupan seharian kita didalam Kerajaan @ Mamluk Al Malaisie ini?

Agak agak bilakah kita umat Islam seMalaysia ini boleh melihat Duli Duli Tuanku sekelian mencemar duli mempertahankan Ukhuwwah Al Islamiyyah rakyat seMalaysia yang beragama Islam ini kembali bertaut sebagai satu gagasan yang berpaksikan Al Quran Al Karim dan Sunnah Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam?

Sudikah kiranya Duli Duli Tuanku bangun bertitah memerintah sekelian puak yang sedang bertelagah mengenai itu dan ini berkaitan Islam di mana Duli Duli Tuanku di mahsyurkan sebagai Ketua Ketua Agama Islam, satu satunya Agama yang di amanahkan Allah Rabbul Alamin, Tuhan Semesta Alam yang Maha Suci untuk berhenti berperang akidah diantara sesama saudara seagama dan sekaum di Tanah Melayu ini?

Agak agak nya apakah impian hamba Allah ini akan menjadi realiti semasa hayat saya ini atau sekadar menjadi retorik kosong didalam khutbah khutbah Jumaat seterusnya?

Mudah2an luahan rasa jiwa hamba sampai jua ke pengetahuan Duli Duli Tuanku sekelian.

Daulat Tuanku!

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberikan Taufik dan Hidayah Nya keatas Duli Duli Tuanku Sultan Sultan, Yang Di Pertuan dan Raja Melayu seMalaysia.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatulillahi Ta'ala Wabarakatuh.
Post a Comment