Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

Read N Write Ad

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Sunday, December 20, 2009

Pantun Nasihat pada Bangsa Melayu oleh Tengku Nasaruddin Said Effendy.

Assalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh.

Wahai dikau, insan insan yang berbangsa Melayu, beragama Islam.

Salam sejahtera hamba ucapkan demi mendoakan kesejahteraan saudara saudari, sewarganegara dengan hamba.

Hamba terasa gundah didalam hati memikir akan nasib Melayu yang kini dilambung badai, diasak taufan pengkhianatan yang diumpamakan perubahan.

Seandainya anda mengerti akan erti kemerdekaan tanahair ini dari segi pengorbanan mereka yang telah berjuang memecahkan belenggu penjajahan dari anak bangsa mereka yakni kamu, maka sepatutnya anda faham akan maksud yang tersirat dan tersurat disetiap bait pantun karangan pujangga Melayu yang saya utarakan ini.

Yang Mulia Tengku Nasaruddin Said Effendy, seorang pujangga persuratan Melayu Riau telah banyak berjasa, memperingatkan anak bangsanya tentang pusaka ilmu persuratan dan kesusasteraan Melayu dengan mengarang dan menerbitkan sebegitu banyak naskhah naskhah dan hasil kesenian persuratan Melayu agar tidak hilang ditelan dedaun masa dan apa yang kononnya dikatakan perubahan zaman.









































Pujangga dunia persuratan dan kesusasteraan Melayu yang masih hidup ini telah begitu banyak berjasa merakamkan Khazanah Pantun Melayu Riau dan saya bersyukur dapat memiliki senaskhah khazanah tersebut yang saya jadikan panduan ketika mengarang dan menulis artikel artikel saya disini dan semasa berurusan dengan sesama pencinta warisan seni kebudayaan Melayu Asli.

Saudara saudari para pembaca yang saya muliakan.

Dunia persuratan Melayu mempunyai banyak rahasia yang perlu tuan tuan dan puan puan gali dan manfaatkannya demi kesinambungan warisan pusaka dan adat resam bangsa turun temurun.

Baru baru ini saya menghadiri majlis pertunangan anak saudara isteri saya di kampong dan agak terkilan bilamana pihak lelaki tidak beriring tukang pantun sebagaimana menjadi kelaziman bangsa Melayu.

Begitu juga dipihak ayahanda anak saudara isteri saya juga kurang arif dan tidak berkemahiran berpantun pembuka kata. Sebagai saudara dan juga tamu jemputan, tidak manis pula saya ini mendahului tuanrumah, maka saya biarkan sahaja majlis pertunangan itu berlangsung seadanya.

Walau terkilan dihati, adat resam Melayu yang saya sanjungi mempunyai susur galur cara dan gaya didalam berbudaya. Tidak molek bagi mana mana tamu menjatuhkan airmuka tuanrumah dan menampakkan kekurangan pihak yang menerima kehadirannya mewakilkan keluarga sendiri. Saya biarkan sahaja demi maruah sesama.

Keprihatinan terhadap warisan budaya bangsa tidak boleh dipaksakan keatas sesiapa. Ianya harus lahir dari naluri semulajadi dan rasa cinta serta tahu menghargai apa dia yang diwarisi dari para sasterawan dan pujangga nusa dan bangsa. Jika dipaksa juga, maka akan terserlah kekurangan ilmu dan kecetekan bahasa. Bukan itu yang saya cita.

Dewasa ini pula, saya melihat sebegitu banyak cabaran terhadap kedudukan orang orang Melayu itu sendiri sehingga turut terasa jiwa ini yang berhubung kait terjalin teramat rapat dengan mereka yang kini di asak dari segenap penjuru mahupun lapangan oleh sesama warga namun berlainan agama dan bangsa.

Kembali kepada tajuk penulisan kali ini, maka ingin saya jemput saudara saudari para pencinta adat resam dan seni kebudayaan bangsa Melayu agar sudi bersama sama saya menghayati akan apa dia khazanah warisan bangsa yang harus disemai dan disuburkan didalam jiwa mereka yang bergelar Melayu?

Peranan pantun didalam kehidupan orang orang Melayu amat besar dan penting kedudukannya. Melayu yang beradab dan berbudi bahasa tidak semberono mengungkapkan kata dan meluahkan rasa sebelum menghiasi mukadimah berbicara dengan serangkap dua pantun sebagai kata pemula dan pembayang maksud kehadirannya.

Maksud yang tersirat dan tersurat didalam bait bait ungkapan seseorang didalam pantun dirinya mengandungi tujuan ia berbicara dan melambangkan peribadi pengungkapnya.

Hakikat berpantun adalah untuk menyampaikan isihati dengan cara berteraskan kesopanan bangsa yang dikenali sebagai Melayu dan membezakan diri penuturnya dengan cara dan gaya isi pantun yang terungkap.

Jika diri sipemantun itu adalah seorang yang berilmu dan tinggi pegangan dirinya terhadap warisan kesusasteraan Melayu, maka intipati dan bunga bunga bahasa yang dipergunakannya akan melambangkan kedudukan seseorang itu didalam susunan masyarakat.

Orang kebanyakan dan orang ilmuan ada cara tersendiri didalam penyampaian maksud bicara dan ianya boleh dinilai dengan memerhatikan cara luahan pantun mereka.

Orang yang berteraskan ilmu agama Islam akan menyelitkan unsur unsur nasihat dan nilai nilai keluhuran Ad Deenullah didalam pantun mereka. Pantun berperanan mencantikkan adat resam dan budaya sesuatu kelompok didalam masyarakat dan lambang kedudukan mereka didalam berbudaya.

Saya turunkan disini rangkaian pantun pantun lama Melayu karangan Yang Mulia Tengku Nasaruddin Said Effendy sebagai contoh tauladan bagi anda pencinta seni Melayu.

Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat pakaian adat,
Apa guna orang berpantun,
Untuk memberi petua amanat.

Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat kain dan baju,
Apa guna orang berpantun,
Untuk mengangkat tuah Melayu.

Apa gunanya orang bertenun,
Untuk membuat pakaian budak,
Apa guna orang berpantun,
Untuk mengajar hukum dan syarak.

Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat kain cindai,
Apa guna orang berpantun,
Untuk memperbaiki laku perangai.

Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat kain selendang,
Apa guna orang berpantun,
Untuk memberi hukum dan undang.

~@~

Kalau orang melabuh pukat,
Carilah pancang kayu berdaun,
Kalau kurang mengetahui adat,
Carilah orang tahu berpantun.

Apa guna daun kayu,
Untuk tempat orang berteduh,
Apa guna pantun Melayu,
Untuk tempat mencari suluh.

~@~

Seterusnya cuba kita renungi akan maksud ungkapan adat berikut:

Apa tanda Melayu jati,
Memanfaatkan pantun ia mengerti.

Apa tanda Melayu jati,
Dengan pantun menunjuk ajari.

Apa tanda Melayu jati,
Dengan berpantun ilmu diberi.

Apa tanda Melayu jati,
Dengan berpantun memberi budi.

Apa tanda Melayu jati,
Dengan pantun memperbaiki pekerti.

~@~

Apa tanda Melayu bertuah,
Dengan berpantun menyampaikan sunnah.

Apa tanda Melayu beradat,
Dengan pantun memberi nasihat.

Apa tanda Melayu beradat,
Dengan pantun ia beramanat.

Apa tanda Melayu beradat,
Dengan pantun meluruskan kiblat.

Apa tanda Melayu beradat,
Dengan pantun membangkitkan semangat.

Apa tanda Melayu beradat,
Dengan pantun mengembangkan adat.

Apa tanda Melayu beradat,
Dengan pantun menyebarkan syariat.

Apa tanda Melayu beradat,
Dengan pantun membaiki ummat.

Apa tanda Melayu terbilang,
Dengan pantun mencelikkan orang.

Apa tanda Melayu berbudi,
Dengan pantun muhasabah diri.

Apa tanda Melayu berbudi,
Dengan pantun mencari kaji.

Apa tanda Melayu beriman,
Dengan pantun memberi amaran.

Apa tanda Melayu beriman,
Dengan pantun mengenal Tuhan.

Apa tanda Melayu beriman,
Dengan pantun memberi pedoman.

Apa tanda Melayu beriman,
Dengan pantun memberi pelajaran.

Apa tanda Melayu beriman,
Dengan pantun ilmu disempurnakan.

Apa tanda Melayu bersifat,
Dengan pantun ia berwasiat.

Apa tanda Melayu bersifat,
Dengan pantun memberi ingat.

Apa tanda Melayu pilihan,
Dengan pantun ilmu diwariskan.

Apa tanda Melayu pilihan,
Dengan pantun ilmu diturunkan.

Apa tanda Melayu pilihan,
Dengan pantun ilmi disampaikan.

Apa tanda Melayu pilihan,
Dengan pantun imu dikembangkan.

~@~

Saudara saudari, tuan puan yang saya hormati.

Khazanah Pantun Melayu semakin dipinggirkan oleh kebanyakan Melayu dewasa ini kerana termakan dakyah musuh musuh bangsa bahawasanya hanya ungkapan ungkapan moden yang disadurkan dari budaya asing itu lebih terpakai dan bermanfaat bagi mereka.

Kebanyakan remaja dan dewasa muda Melayu hari ini memberi salam secara kebiasaan Afro Amerika dan budaya hip hop yang tidak berasaskan ciri ciri ketimuran.

Cara menepok tampar dan genggaman tangan mengikut budaya hip hop Afro Amerika menjadi ikutan dan budaya kelompok Melayu yang lupa dan tidak sadar diri akan ketinggian ketamadunan Melayu zaman berzaman.

Ramai dikalangan Melayu hari ini tidak segan menjadi umang umang kebudayaan asing dan malu terhadap warisan seni budaya bangsa sendiri melainkan sebilangan kecil dari anak bangsa tanahair ini yang masih gagah mempertahankan kesinambungan adat resam dan budaya bangsa.

Ketinggian seni budaya dan adat resam bangsa Melayu sebenarnya mempunyai banyak faedah bagi memelihara kesucian dan ketinggian peribadi mereka yang bergelar Melayu.

Melayu tidak harus malu pada nama Melayu itu sendiri dan tidak sepatutnya termakan dakyah bahawa gelaran 'Melayu' itu sendiri membawa kepada kelayuan teras bangsa Melayu itu sendiri!

Kesultanan Melayu Melaka itu pada asalnya didirikan dengan penuh kegemilangan pemerintah yang berbangsa Melayu dan berupaya menakluki dan menguasai kebanyakan negara negara dirantau Asia ini.

Kejayaan Kesultanan Melaka itu berlangsung dizaman tahun 1400 dahulu ketika Melayu itu tidak mempunyai persenjataan canggih seperti di zaman sekarang.

Melayu dahulu bersenjatakan keris, pedang, badik, tombak, lembing, panah dan meriam sahaja namun berupaya mematahkan serangan musuh, menakluki negara negara yang besar dan berjaya merentasi lautan bergelora dengan menggunakan hanya kapal kapal layar sahaja!

Kenapa Melayu dahulu berupaya mencipta sejarah dengan kelengkapan se adanya tetapi Melayu hari ini dengan segala kemewahan yang ada gagal menghargai pusaka warisan nenek moyang mereka sendiri?

Salah satu puncanya adalah Melayu hari ini gagal meneruskan cara kerja dan semangat cintakan adat resam budaya bangsa yang berteraskan syarak dan semangat keperwiraan Melayu itu sendiri.

Melayu hari ini mudah diperkotak katikkan orang asing dan seteru didalam masyarakat sendiri kerana memandang rendah kepada warisan Melayu.

Melayu sekarang kebanyakan mereka buta sejarah dan tuli terhadap pusaka dari warisan datuk nenek moyang mereka sendiri.

Kebudayaan Melayu hari ini mengumpul habuk dan berdebu di muzium muzium negeri dan negara.

Harta intelek dan pusaka warisan persenjataan Melayu hari ini di simpan dan dikaji di negara negara barat bekas penjajah Tanah Melayu dan menjadi koleksi peribadi mereka yang tahu menghargai warisan dan sejarah Melayu!

Apa yang ada pada anak anak Melayu hari ini?

Sekadar kemampuan menghiburkan orang sahaja dan dipinggirkan dari arus kemajuan duniawi kerana tidak adanya jatidiri serta kurang dari segi keperkasaan ilmu itu dan ini.

Pada pendapat saya, Melayu mampu mengubah suasana dan kembali gemilang sekiranya berpasak pada budaya bangsa dan semangat membina diri melalui penyatuan ummah dan menghayati pusaka ketamadunan Melayu didalam ertikata sebenarnya.

Sesuatu kejayaan itu bermula dengan azam dan tekad memajukan diri didalam lapangan yang diceburi.

Hendak seribu daya! Tak hendak seribu dalih!

Kembalilah memartabatkan diri kamu wahai anak Melayu dengan menjunjung kedaulatan budaya bangsa dan berteraskan adat resam dan bersendikan hukum syarak!

Nescaya Tanah Melayu ini akan gemilang kembali dengan semangat Melayu yang baru!

Insya Allah!
Post a Comment