Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

Read N Write Ad

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Wednesday, October 19, 2011

Mahaguru58 berlepas untuk menunaikan fardhu haji malam ini, Insya Allah!

Bersama sicomel yang sempat saya dukung di Low Yat
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Sidang pembaca yang dihormati sekelian. Akhirnya ,menjelang sudah hari ini Rabu 21hb Zulkaedah, 1432 Hijrah bersamaan 19hb Oktober, 2011 Masehi dimana saya dijadualkan untuk melapor diri di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya malam ini sebelum berlepas ke Tanah Suci Makkah al Mukarramah dengan penerbangan KT60 pada jam 0130 pagi Khamis nanti.


Pelbagai macam rasa sedang saya rasai. Teruja untuk melihat Kaabah dengan mata kepala sendiri. Melihat Masjidil Haram dengan terus dan tidak hanya melalui kaca televisyen. Menjejakkan kaki debu dunia ini di Haramain dan bertawaf mengelilingi Baitullah, mengerjakan solat dan sujud dihadapan Kaabah!


Masya Allah! Tertunai jugalah nanti kerinduan berpuluh puluh tahun sejak lahir ke muka bumi ini untuk bersama jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia ini. Bersama sama Muslimin na wal Muslimat, Mukminin na wal Mukminat menyempurnakan panggilan Baitullah! Menunaikan Fardhu Haji, Rukun Islam ke5 yang menjadi puncak kehidupan kita sebagai seorang yang mengaku bahawa 'Tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah pesuruhNya!'


Subhanallah! Syukur Alhamdulillah Ya Rahman diatas penghormatan ini! Syukur Alhamdulillah dan jutaan terimakasih kepada Tabung Haji yang menjemput diri ini untuk bersama sama mengerjakan haji pada musim ini! Hanya Allah sahaja yang Maha Pembalas dan Pemberi Ganjaran kepada semua pihak pengurusan Tabung Haji yang terlibat didalam urusan penjadualan pemergian saya ke Tanah Suci ini.


Pesanan Mahaguru58


Tuan tuan dan puan puan, saudara saudari seIslam dengan saya sekelian,
Sejak kebelakangan ini negara kita sering dilanda pelbagai macam kemelut dan krisis berpunca dari kekurangfahaman segelintir umat yang dikatakan Islam itu sendiri.


Saya sudah menulis beribu ribu kali bahawa setiap Ulul Amr hendaklah ikhlas dan berani menjalankan tugas masing masing selaku Ketua2 Agama Islam didalam negeri masing masing.


Duli Duli Tuanku bukan sahaja berhak menentukan arah tuju sistem kehidupan manusia manusia yang menjadi rakyat negeri negeri bersultan terutamanya yang berkaitan dengan orang2 Islam.


Tidak timbul soal hendak menjaga hati manusia bilamana manusia manusia yang berkenaan tidak faham tentang apakah dia sebenarnya sistem kehidupan Islam itu?


Yang paling penting adalah akur terhadap Perintah Allahu Ta'ala, Tuhan Maha Pencipta kita sekelian. Tidak bermakna apa apa sekiranya mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negeri negeri Tanah Melayu ini gagal menegakkan Syiar Islam hanya kerana dibantah dan ditentang sebilangan manusia yang kafir terhadap Seruan Allah dan jahil tentang kesyumulan Islam itu sendiri.


Selaku Ketua Ketua Agama Islam, maka Duli Duli Tuanku wajib menjadi 'role model' kepada hamba rakyat sekelian. Kehidupan serba mewah yang lazimnya dikecapi sang pemerintah berlawanan dengan Sunnah Rasul Sallalahu Alaihi Wassallam.


Terasing jadinya bilamana sang pemerintah disekat dan dikawal sebegitu rupa sehingga di antara ulul amri dan ummah ada lautan protokol ciptaan manusia yang menghalang ukhwah silaturahim diantara raja dan rakyat.


Cuba kita rujuk kembali kepada cara Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wassallam hidup?


Baginda Sallalahu Alaihi Wassallam tidak tinggal di istana mewah dan dikawal sebegitu ketat sehingga tidak mudah untuk mana mana manusia yang hidup di zaman Rasulullah untuk bertemu Sayyidul Mursalin.


Dewasa ini terlalu ramai kaki ampu dan kaki bodek mengada-adakan pelbagai sekatan diantara raja dan rakyat. Apakah boleh sesiapa menyekat Malaikatul Maut bilamana ia tiba utuk mencabut nyawa mana mana raja dan sultan disini?


Kita ni hidup diantara 5 waktu solat, tuan puan.


Hidup yang sebegitu sementara dan senantiasa terdedah kepada kemungkinan bahawa sekejap lagi, akan terpisah lah ruh dari jasad kita. Tidak ada penghalang diantara ajal dengan kita melainkan ketentuan Ilahi. Tidak terawal barang sesaat ; tidak terlewat barang sedetik!


Duli Duli Tuanku termasuk Perdana Menteri dan Menteri menteri Kabinetnya semua harus menunjukkan cara hidup selaku pemerintah Muslim yang sejati. Bukannya khayal dengan kesenangan dunia yang terlalu sementara ini. Terapkan nilai nilai kehidupan cara Muslim dan Mukmin didalam kehidupan masing masing. Insya Allah akan ada berkat didalam menjalani saki baki kehidupan Yaum al Duniyya ini.


Jagalah ahlul keluarga dan kerabat masing masing. Yang patut ditutup dan diselindung, hendaklah lakukan. Usah gila glamor sepanjang masa dan bilamana ke Tanah Suci baru hendak berkelubong! Allahu Ta'ala memerhatikan kita sepanjang masa dan dimana sahaja. Tidak ada sebarang sekatan di antara Rabbul Alamin dan kita yang menjadi hambaNya.


Manusia sekarang kalut dengan cctv yang dipasang samada secara terbuka atau secara curi curi. CCTV Allah kita tak nak ambil kira ke?


Malaikat Raqib dan Atid senantiasa merakam segala usaha kita di muka bumi ini tanpa henti. Ulang tayangnya nanti di Yaum al Mahsyar melainkan Allahu Rabbul Alamin sudi menyunting segala noda dan dosa dosa kita dari tayangan umum.


Himpunan Sejuta Ummah


Saya ingin bertanya. Apakah masaalah murtad dikalangan segelintir umat yang mengaku Islam didalam Mamluk al Malaisie ini mampu di atasi dengan acara sehari yang dijadualkan berlangsung tidak berapa lama lagi?


Murtad itu terjadi dari kejahilan seseorang yang hanya Muslim pada Mykad sahaja! Setakat nak beriya berhimpun, hu ha didalam Stadium Shah Alam nanti tidak akan merubah keadaan hati budi mereka yang jauh tersasar dari mengenali jatidiri mereka sebagai hamba Allahu Ta'ala.


Saya lebih suka jika sekiranya mereka yang akan berhimpun itu nanti ditarbiyyah menjadi Da'i dan Da'iyah Allah. Menjadi para pendakwah yang berilmu dan berperi kemanusiaan. Penuh dengan kebijaksanaan menambat dan mengambil hati golongan yang dahagakan bimbingan dan perhatian. 


Jika setakat berkumpul ramai ramai untuk sehari dan kemudiannya masing masing kembali semula kepada rutin dan kebiasaan hidup sendiri, saya rasa masih tak akan menyelesaikan masaalah murtad ini. Terus terang saya katakan bahawa kita perlu tumpukan perhatian kepada soal melahirkan mubaligh mubaligh Islam yang cekap dan cekal. Penuh berilmu dan tahu cara mendekati manusia tanpa membezakan diantara pangkat dan kedudukan, bangsa dan keturunan, dsbnya.


Allahu Ta'ala tidak akan menciptakan kita tanpa tujuan. Ada peranan kita masing masing. Terpulang kepada diri kita ini akan cara kita menjalani hidup kita sebagai Muslim? Islam itu Aman.


Namun di Akhirul Zaman ini, umat Islam senantiasa ribut dan bergolak, bercakaran sesama sendiri. Engkau mengata aku ; aku mengata engkau! 


Sampai bila?


Sampai bilakah kita hendak membuang masa, bertekak, bermusuh sesama Islam?


Nak anggap diri kita sempurna?


Hello brader...tak ada sesiapa yang sempurna melainkan Allahu Ta'ala. Kita ni makhluk ciptaan Allah yang diberikan akal fikiran untuk memikir dan melaksanakan matlamat hidup masing masing.


Bagi saya ini, saya memilih untuk mengabdikan diri kepada Rabbul Alamin demi kesejahteraan hidup kita sesama manusia.


Sedangkan boleh kita mengusap dan membelai kucing kucing yang datang mengiau meminta belas kita, apatah lagi sesama manusia?


Kita tak boleh 'give up' berurusan dengan manusia walaupun sering ditipu, dikhianati dan diambil kesempatan keatas sikap prihatin kita. Istiqomahlah kita didalam hidup sebagai Muslim dan Mukmin.


Insya Allah akan ada manfaatnya. Tak didunia ini, Insya Allah di akhirat nanti.


Insya Allah, akan saya usahakan untuk memberi laporan tentang perjalanan haji saya bilamana saya selamat mendarat di bumi Haramain nanti. Doakan lah saya agar mendapat haji yang mabrur. Saya gembira kerana ada beberapa rakan blogger lain yang turut mendapat peluang mengerjakan fardhu haji ini sama sama.


Saya berharap sangat untuk tidak menghadapi masaalah sambungan internet. Insya Allah akan saya rakam gambar dan juga video serta visual suasana kota Makkah al Mukarramah dan Madinah al Munawarrah nanti.


Saya akan mendoakan tuan puan agar mendapat izin Allah untuk menjejaki Tanah Suci sama seperti saya. Berbanding dengan blogger parti 'Islam' yang mendoakan laknat kepada seteru seterunya dihadapan Kaabah, Tok Mamu akan hanya mendoakan segala kebaikan bagi setiap anak cucu Adam Alaihis Salam.




Apekebendenya merugikan peluang yang teristimewa seperti ini untuk mendoakan keburukan pada yang lain? Tak ada gunanya kita bergelar begitu begini dan merasakan diri sebagai suci tetapi mendoakan orang pecah perut dan sebagainya!!! Wasted bro!


Saya tak tahu lah apakah sebenarnya yang bersarang didalam benak fikiran saudara2 kita seperti itu? Perlu 'reformat mindset' bro!


Sepatutnya PAS dari dulu lagi mentarbiyyah UMNO dengan pendekatan penuh kasihsayang dan ukhuwwah al Islamiyyah? Bukan bersengketa sahaja. Mahu tak mahu saja Syeikh!


Karpal dengan Kit Siang u all boleh pelok sakan, takkan tak leh dengan sesama Iman?


Tok Mamu akan berdoa nanti supaya Allahu Ta'ala menjernihkan hati dan jiwa2 yang berkenaan supaya mahu mencari damai dan tidak terus degil asyik hendak bersengketa sesama saudara seIslam selama lamanya. Insya Allah!


Ingat pesanan Mamu.


Hidup kita hanya diantara 5 waktu bro!


Kita tak tahu bila masa kita dah sampai? Tak ada postpone punya!


Betul tak?


Saya mengucapkan ribuan terimakasih kepada beberapa individu yang sudi membantu saya untuk dapat pergi menunaikan fardhu haji ini nanti. Nama nama mereka akan saya sebutkan didalam doa doa saya secara jelas dan memohon kebaikan dunia dan akhirat bagi mereka yang berkenaan serta sekelian rakan rakan dan kenalan samada melalui blog ini, Facebook dan secara peribadi dihadapan Kaabah nanti.


Tuan puan yang saya maksudkan tahu siapa diri anda dan apa bantuan serta pertolongan yang anda telah berikan kepada Tok Mamu ini? Jazakallah khairan kathiraw! Ribuan terimakasih saudara2 dan saudari2 ku! Thanks so much!


Saya turut terhutang budi sampai ke mati kepada pihak Tabung Haji dan segala pegawai pegawai terbabit didalam urusan haji saya ini. 


Kasih sayang dan pengorbanan isteri tercinta saya memang tak ada tolok bandingnya dan saya amat bersyukur diatas limpah kurnia Ilahi memberikan ia kepada saya selaku teman hidup didunia ini dan Insya Allah di akhirat nanti. 


Abang amat sayang dan mencintaimu!


Hanya Allahu Ta'ala sahaja Maha Pembalas diatas segala pengorbanan mu dan kasihsayang mu dinda! @};-


Semoga Allah merahmati anda semua dan juga kami para jamaah haji dan mempertemukan kita semua kembali dengan selamat dan jayanya.


Amin. Ya Rabbal Alamin.


Sekian dahulu sehingga ketemu dilain lembaran blog Mahaguru58 ini.


Wabillahi Taufik Wal Hidayah.


Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Abdillah,
Zanol Abideen @ Mahaguru58,
Bandar Tun Razak,
Cheras, Kuala Lumpur.
Malaysia.


Gambar kenangan selepas membeli peralatan di Low Yat.

Post a Comment