Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Wednesday, September 19, 2007

Demi Masa - Apa yang kita lakukan dengan saki baki usia kita?
























Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Apa kabar semua? Harap harap sihat sejahtera dan telah selesai mengerjakan ibadah yang terdaya.

Tergerak hati ini mengingati masa masa yang berlalu begitu cepat sekali , membayangkan kebenaran Hadis Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam tentang tanda tanda akhirul zaman dan menjelangnya Hari Kiamat, bagaikan pepasir didalam jangkamasa yang senantiasa gugur tanpa terlepas sesaat jua!

Bilamana meninjau berita semasa, sedih hati ini melihat kadar jenayah yang semakin hari semakin meningkat, semakin kejam dan lebih kerap kejadiannya.

Masyarakat hari ini ternyata lebih bersifat mementingkan diri sendiri dan sudah ramai yang tidak lagi ambil peduli tentang apa yang berlaku pada orang lain apatah lagi terhadap insan insan yang lemah dan tidak berdaya.

Apakah ini hasil atau kesan sampingan budaya kehidupan moden yang cenderung kepada kejayaan peribadi dan tidak lagi berpaksi kepada semangat setiakawan atau berpasukan seperti dahulu dikampong kampong dan desa?

Hidup di bandar mengasingkan sesebuah keluarga dari jiran jiran yang ada sebab ada satu sikap tidak mahu ambil peduli tentang hal ehwal orang sebelah menyebelah.

Keadaan ini mengujudkan jurang perhubungan diantara anggota masyarakat kerana masing masing berasa bahawa apa yang berlaku pada diri dan keluarga sendiri adalah urusan peribadi dan tidak payah ada sesiapa yang bersifat ingin tahu dan menyibuk tentang urusan mereka!

'Mind your own business!' ungkapan biasa dikalangan penduduk kota.

Soalnya, bolehkah kita tidak ambil peduli tentang apa yang sedang berlaku disekeliling kita?

Bolehkah kita memejamkan mata melihat kemungkaran yang semakin berleluasa didalam masyarakat kita akibat dari ketidakpedulian ini?

Anak anak muda dan remaja hilang arah dan berkeliaran tanpa bimbingan dan pedoman dari orang orang dewasa dan yang sudah tua.

Kesan dari sikap tidak mahu mengambil tahu tentang hal ehwal jiran jiran dan penduduk setempat , anggota masyarakat sendiri, kawasan , negeri dan negara melahirkan satu suasana yang hilang rasa kasih dan sayang terhadap sesama bangsa dan agama, apatah lagi sesama warga negeri dan negara.

Tidak ada lagi perasaan prihatin dan kasihan terhadap anak anak begitu dan kebanyakan orang cenderung terhadap mengambil kesempatan keatas kejahilan para remaja dan yang baru menjejaki alam dewasa.

Semua ini bertitik tolak dari keadaan dirumah masing masing dan kurangnya asuhan dari ibubapa kerana mereka sendiri jahil tentang adat resam dan warisan bangsa hasil dari sikap tidak ambil peduli atau mahu menasihati serta menegur orang lain.

Setiap perbuatan pasti ada timbal balik dari apa yang kita lakukan.

Jika kita bersikap dan bersifat 'ke-aku-aku-an', maka anak anak kita pasti mengikuti jejak langkah kita.

Bila seorang ayah bersikap keras dan tidak ada unsur kasih sayang, si-anak turut terbentuk peribadi yang sama melainkan ada kesan yang lebih baik dari hasil pergaulannya dengan orang atau pihak ketiga seperti guru atau ustaz yang murshid dan baik.

Begitu juga jika ianya bergaul dengan rakan rakan yang bersifat dan berjiwa mulia serta membimbingnya kearah kebaikan.

Sayang sekali masyarakat kita hari ini ; saban hari kita membaca di akhbar tentang para pemimpin dan pembesar negeri saling tuduh menuduh, caci mencaci, fitnah memfitnah dan berleluasanya penyakit hasad, dengki dan iri hati sesama ummah dan sesama warga negara Malaysia yang semakin kalut jadinya hasil dari segala percakaran sesama kita?

Nak kata masing masing 'maksum' @ suci dari noda dan dosa - tidak lah pula!

Namun hakikat keadaan para pemimpin hari ini , masing masing bagaikan enau didalam belukar ; masing masing sibuk hendak melepaskan pucuk, mencari sinar kegemilangan diri tanpa mengambil kira hak dan kepentingan yang lain, apatah lagi rakyat marhaen?

Kemana agaknya kecenderungan begini akan membawa masyarakat kita?

Tidak akan tersasar dari jatuh ke lembah kehinaan dan kehancuran bangsa jika terus menerus begini!

Saya berpendapat semuanya akibat kekerasan hati dan kesombongan jiwa yang lupa bahawa hakikat diri masing masing cuma bersifat sementara.

Tidak kira Sultan atau Yang diPertuan Agong sekalipun atau pemimpin perdana negara yang tinggal di-istana diatas bukit dan dikawal sepanjang masa!

Bila tiba saat dan ketika ajal maut itu, maka tidak ada kuasa dan upaya menahan Malaikatul Maut dari menjalankan tugas nya.

Tidak terawal barang sesaat atau terlewat barang sedetik!

Ketika itu, tidak ada ertinya memohon kepada Saiyidina Izra'il Alaihis Salam agar ditunda barang sepuluh minit sebab ada temujanji dengan rakaniaga istimewa atau menteri mana mana!

Bawa bawalah bersabar dan beristighfar terhadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala memohon keampunanNya dengan berkat Cahaya Ramadan dan sempena kejayaan berpuasa dibulan nan mulia ini!

Jika boleh, persengketaan sesama kita haruslah dimaafkan dan dijernihkan kembali perhubungan diantara manusia.

Nak ribut ribut buat apa?

Segala harta, pangkat dan kedudukan sementara didunia ini akan hilang lenyap apabila ruh dicabut Malaikat Maut Izra'il Alaihis Salam.

Segala pangkat yang dimulia muliakan didunia ini tidak bererti lagi bila jasad kaku mengeras dipembaringan dan tidak bersarang lagi ruh kita didalam kerangka janazah kita!

Berapa ramaikah dikalangan kita yang mahu memikirkan semua ini?

Tidak berapa orang, sudah pasti. Yang pergi tetap tidak akan kembali dan barangsiapa yang masih bernyawa sekarang pasti akan turut mati bila sampai detiknya.

Sempena Ramadan nan mulia ini, ambillah iktibar dari kesedaran ini dan kemudikan lah diri , anak isteri, suami, ahli keluarga dan masyarakat ke arah tuju masing masing sesuai dengan kemahuan dan citarasa sendiri.

Semoga diberkati Allah SWT dan diberikan taufik dan hidayah kepada kita semua.

Baik baiklah menggunapakai saki baki usia kita kearah yang lebih afdal. Insya Allah!

Amin Ya Rabbal Alamin.

Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh.