Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Sunday, October 07, 2007

Anwar Ibrahim - Mantan TPM yang masih ditakuti pimpinan Barisan Nasional



Anwar Ibrahim - satu satunya pemimpin politik yang masih membuatkan pucuk pimpinan Barisan Nasional bermimpi ngeri setiap kali beliau membuka mulut bercakap dikhalayak ramai.

Kehebatan berpidato anak kelahiran Cherok Tok Kun ini memang sudah termasyhur sejak Anwar disunting mantan mamanda Perdana Menteri yang sedang didalam proses pemulihan dari pembedahan koronari jantung kedua di Institut Jantung Negara @ IJN, Tun Dr.Mahathir Mohamad menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari dilantik Parti Islam seMalaysia @ PAS menjadi pemimpin parti pembangkang.

Saya sendiri merupakan salah seorang rakyat negara ini yang pernah mengharapkan negara ini ditadbir oleh manusia bernama Anwar Ibrahim selepas Mahathir meletak jawatan sebagai PM kerana ketinggian ilmu agamanya, kebolehan berpidatonya yang masih mengkagumkan, kejelasan fikrah diri nya yang sampai sekarang tidak tercabar oleh sebarang ahli politik negara lain baik dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

Anwar Ibrahim bukan malaikat sama seperti kita ini. Siapa kah yang mampu berkata bahawa dirinya suci dari dosa barang setitik? Jadi tak usahlah kita mendabik dada mengaku diri maksum seolah wali atau auliya Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

PAS dari dulu lagi merupakan satu satunya parti politik yang mampu menggugat kuasa politik UMNO kerana satu dasar yang terpenting iaitu ingin menegakkan daulah Islamiyah dinegara Malaysia ini.

Tidak ada parti politik lain yang mahu menegakkan undang undang Syariah Allah yang sebenar dibumi Malaysia ini selain dari PAS.

UMNO sekarang diperkudakan dengan satu fikrah bida'ah oleh Abdullah Badawi yang berani memperkenalkan istilah tambahan kepada ajaran suci Islam Ad Deenul Haqq dengan tempelan 'Hadhari'!

Kononnya untuk menjenamakan semula Islam kerana pihak barat memerangi Islam akibat dari sikap terlampau sesetengah pihak dari umat Islam dunia dan Abdullah Badawi tampil dengan konsep 'Islam Hadhari' @ 'Islam Bertamadun' mengelabui mata pimpinan UMNO yang memang tidak gemar sangat untuk melihat Syariah Allah yang sebenar bertapak dibumi tercinta ini.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, pucuk pimpinan UMNO segera menyambut usulan Abdullah Badawi dan berebut rebut menyatakan sokongan kepada PM sekarang ini kerana ingin menjaga periok nasi masing masing dan menjaga kepentingan politik diri sendiri.

Bilamana ada manusia seperti Abdullah Badawi berani memperkenalkan satu bidaah didalam ajaran agama dengan menempelkan satu istilah tambahan 'Hadhari' kepada ajaran yang diperturunkan Allah, Tuhan Semesta Alam sendiri kepada Rasul Sallalahu Alaihi Wassallam, Nabi Muhammad, Khataman Nabiyyi kepada sekelian makhluk ciptaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ini merupakan satu bida'ah lawwamah -bida'ah dosa besar.

Pengenalan konsep 'Islam Hadhari' seolah ajaran yang dibawa Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wassallam, pelengkap ajaran agama Islam yang Maha Suci dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala sendiri tidak sempurna, tidak lengkap dan tidak tepat sehinggalah manusia bergelar Abdullah Badawi ini hadir memperkenalkan 'Islam Hadhari' kepada seluruh umat Islam didunia ini bagaikan penyelamat ummah?

Bagi saya , ini merupakan satu tamparan kepada kesucian Islam dan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Rasul Sallalahu Alaihi Wassallam serta sekelian umat Islam yang benar benar memegang kepada tali Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Sunnah Rasul Sallalahu Alaihi Wassallam!

Islam itu sudah sempurna ajarannya dan melarang melakukan syirik seperti didalam firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala didalam Surah An-Nisa 4:48 Al-Qur'an Al Karim :

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.".

Rujuk pula kepada Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala didalam ayat ayat 98 ke 101 didalam Surah Al-Baqarah, Al-Qur'an Al-Karim tentang keadaan berikut:

"[98]
Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.
[99] Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.
[100] Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.
[101] Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya)."

Sadaqallah hal azhim.

Kehadiran Anwar Ibrahim dipersada politik tanahair hari ini bagaikan duri didalam daging mereka yang menyokong membuta tuli terhadap perbuatan bida'ah Abdullah Badawi memperkenalkan konsep 'Islam Hadhari' yang membelakangkan suruhan Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar menyatukan ummah dan memperkasakan jatidiri Muslim semasa untuk memerangi musuh musuh Islam.

Presiden Amerika Syarikat sekarang George Walker Bush Jr. amat gembira dengan konsep Islam Hadhari yang dibawa Abdullah Badawi kerana ianya membelakangkan panggilan jihad dan melemahkan negara negara Islam dari segi keupayaan tentera.

Berjuta juta nyawa manusia Muslim sudah hilang dibunuh tentera Amerika dan pakatan sekutu negara negara Kafir Harbi dibumi Timur Tengah dek kerana lemahnya pimpinan Islam sekarang terutamanya negara negara OIC yang dibawah pimpinan Abdullah Badawi.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala didalam Surah Adz-Dzariyaat ayat 8 ke 13 bermaksud :

" [8] Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai ugama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, s.a.w).

[9] Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran).

[10] Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja,

[11] (Iaitu) orang-orang yang tenggelam alam kejahilan, serta lalaikan (hari pembalasan).

[12] Mereka bertanya (secara mengejek): "Bilakah datangnya hari pembalasan itu?"

[13] (Jawabnya: hari itu ialah) hari mereka diseksa (dengan dibakar) atas api neraka, "

Sadaqallah hal aliyyul aliimul azhiim.

Maka apakah kita ini , manusia Muslim yang hidup dizaman serba canggih ini perlu memperbodohkan diri mengikut saja secara membuta tuli akan ajakan mereka yang memperlekehkan ajaran Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wassallam dengan memperkenalkan satu perkara baru didalam agama Islam?

Apakah Abdullah Badawi seorang yang lebih hebat dari kesempurnaan Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam didalam membawa risalah agama?

Apakah perlu konsep baru seperti bidaah Hadhari ini yang jelas memisahkan lagi jurang sedia ada diantara umat Islam Malaysia seperti yang kita sedia maklum diantara pihak UMNO dan PAS!

Islam itu sudah lama sempurna ajarannya. Cuma kita ini saja yang degil tidak mahu melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala seperti termaktub didalam Syariah Allah dan ajaran Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam.

Lihat sajalah betapa naik mendadaknya kadar jenayah didalam dunia ini terutamanya didalam negara kita sendiri akibat tidak ditegakkan ajaran agama Islam yang sebenar!

Undang undang ciptaan manusia tidak akan dapat menangani kemelut jenayah yang semakin meruncing dan semakin kejam seperti kes kes jenayah seks yang semakin berleluasa sekarang.

Bila manusia berani memperbelakangkan suruhan Allah dan menengahkan ilham terpesong diri sendiri maka tanggung sajalah akibatnya.

Justeru kehadiran Anwar Ibrahim di medan politik tanahair ternyata ada manfa'at kepada ummah bilamana beliau yang telah dianiaya sedemikian rupa masih berupaya mencabar kerakusan manusia manusia yang bertopengkan agama konsep baru ini dengan mendedahkan kepincangan kepincangan mereka secara jelas dan nyata untuk dijadikan perbandingan dan kembali semula kepada penyatuan ummah dibumi ini.

Anwar tidaklah sesempurna mana namun hadirnya ia boleh menggembeleng tenaga pencinta Islam agar bersatu menentang kemungkaran yang semakin bermaharajalela didalam parti pemerintah kelolaan Abdullah Badawi.

Semoga Islam kembali dihayati dan di amalkan oleh umat Islam mengikut suruhan Allah Azza Wa Jalla dan ajaran Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wassallam, Rahmatulil Alamin.

Pandai pandailah kita menurut yang hak dan bukan yang batil! Amin Ya Rabbal Alamin.

Sumber Tafsir Ayatul Qur'an al-Karim disini.