Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Saturday, December 01, 2007

Oh Malaysia! Tanahair ku yang semakin bergejolak.

Perkembangan semasa ditanahair ku ini membuatkan ku merasa risau tentang apakah yang akan berlaku seterusnya?

Negara ku ini baru menjangkau usia 50 tahun setelah beratus tahun lamanya dibawah perintah pelbagai jenis penjajah yang datang mentakluki semenanjung bumi Tanah Melayu ini dan merompak hasil kekayaan dari bumi ini sesuka mereka.

Bumi Tanah Melayu ini pernah terkenal seantero pelusuk dunia sebagai 'Golden Chersonese' di suatu zaman dahulu kerana memang bumi ini mengandungi hasil bumi yang pelbagai macam termasuk emas didalam isi perutnya.

Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pernah gah sebagai Empayar Melayu yang menjangkaui tanah jajahan nya meliputi sebahagian Nusantara dan disegani oleh negara negara lain di rantau Asia.

Namun semuanya itu tinggal kenangan. Kemegahan dan kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka kini hanya dipamerkan di muzium muzium negeri dan didalam lipatan sejarah lampau.

Keturunan Melayu Melaka dan zaman kehebatan pahlawan dan pendekar Melayu zaman dahulu hanya menjadi bahan kajian penuntut sejarah dan profesor profesor kolej dan universiti.

Orang orang Melayu dewasa ini dan anak muda serta remaja Melayu tidak ambil peduli lagi tentang zaman kegemilangan datuk nenek moyang mereka melainkan segolongan kecil yang sedar akan keperluan menjaga warisan budaya dan adat resam mereka serta hubungkaitnya kaum Melayu dengan ajaran Islam nan maha suci.

Melayu sekarang sudah ramai yang lebih suka menonjolkan diri seperti umang umangan kerana mereka mencelup rambut hitam asli mereka menjadi celorong celoreng kekuningan umpama orang putih dan amat malu berbahasa Melayu dikalangan mereka serta lebih cenderung bertutur didalam Bahasa Inggeris yang kekadang tidak lah sebaik mana sebutan dan pemahaman mereka.

Ini realiti kehidupan kebanyakan masyarakat kota kota besar seperti di Kuala Lumpur ini dan dikalangan mereka yang berpendidikan tinggi diluar negara.

Aku tidak lah mengatakan kesemua orang orang Melayu bersikap begitu namun hakikat penularan penyakit lupa diri dan lupa asal usul kaum Melayu semakin hari semakin menjadi.

Dicelah celah kehidupan serba mencabar ini, ku lihat semakin gawat cabaran cabaran semasa yang menimpa tanahair ku ini.

Semuanya berkisar tentang ketidakadilan pemerintah semasa mengagih-agihkan hasil bumi dan kekayaan negara kepada anak anak watan dan keturunan kaum kaum pendatang ke negara ini.

Setiap pembantah, setiap penunjuk perasaan melaungkan slogan dan menuntut keadilan!

Apakah sang pemerintah mengambil peduli akan bantahan bantahan semasa ini?

Bagaikan menuang air ke daun keladi, segala tunjuk perasaan dan demonstrasi demonstrasi ini seolah hilang ditiup angin dan natijahnya pasukan keselamatan yang bersumpah setia terhadap Mamanda Perdana Menteri tidak teragak agak menghayun belantan, mematahkan tulang temulang dan menginjak warga negara yang membantah ketidakadilan yang berlaku di bumi nan tercinta ini.

Di tembak gas pemedih mata, disembur tembakan meriam air campuran bahan kimia pemedih mata, menggatalkan kulit, ditendang, disepak, ditangkap , digari dan disumbat, dihumban kedalam penjara sama seperti zaman berzaman yang lampau dimana setiap diktator , setiap penguasa , bersikap keras, berkuku besi, membanteras sebarang cubaan warganegara bangun menuntut hak hak mereka yang dimeterai didalam perlembagaan ciptaan manusia dan dipinggirkan ketepi sesuka hati si pemerintah.

Nostalgia keadilan zaman Khalifah Ar Rashyidin terkenang sekali sekala melalui pembacaan noktah noktah sejarah yang menceritakan kepada kita tentang keunggulan sang khalifah yang akur terhadap suruhan Allah pada satu ketika dahulu.

Apakah akan berulang semula zaman seperti itu didalam jangkamasa hayat daku? Wallahu alam.

Keadaan semasa semakin bergolak dek kerana kaum India, anak cucu cicit pendatang dari India merasa kaum mereka dipinggirkan oleh sang penguasa dan mereka dianggap sebagai masyarakat kelas ketiga atau lebih rendah dari itu?

Kita tidak lah boleh menidakkan sahaja sebahagian dari rungutan mereka kerana memang nasib kaum India di Malaysia adalah tidak se-elok sebahagian besar masyarakat Malaysia yang lain.

Namun, perlu kita bertanya, " Apakah yang telah mereka lakukan untuk memajukan diri mereka dan kaum mereka sendiri selama ini?"

Sejak Merdeka nya negara ini pada tahun 1957, masyarakat India tidak pernah lupa untuk memberi kuasa perwakilan kepada parti politik Kongres India seMalaysia @ MIC dan MIC telah menjadi sebahagian dari gabungan parti pemerintah Barisan Nasional.

Soalan saya, apakah MIC tidak pernah membantu masyarakat India di Malaysia ini?

Jika ia nya tidak adil terhadap mereka sekian lama ini, mengapakah masyarakat India tetap mengundi calon calon MIC setiap kali diadakan pilihanraya nasional?

Apakah yang telah dilakukan oleh golongan seperti didalam HINDRAF selama 50 tahun ini untuk menuntut agar MIC berlaku adil terhadap mereka?

Kenapa sekarang?

Kenapa baru sekarang ini timbulnya perasaan ingin menuntut itu dan ini oleh mereka yang semakin lantang menyuarakan pendapat dan pegangan mereka bahawa UMNO telah meminggirkan mereka dan menganiayai kaum India di bumi Malaysia ini?

Apa kejadahnya peranan MIC?

Kenapa HINDRAF tidak pergi berhadapan MIC dan membantah ketidakupayaan pemimpin pemimpin MIC untuk membahagi hasil yang diperuntukkan untuk kaum India dari BN?

Bukankah begitu sepatutnya? Jika sungguh MIC itu sudah tidak ada gunanya lagi kerana mereka sudah lemak membuncit isi kantong dan perut masing masing, maka HINDRAF haruslah berusaha mendaftarkan diri sebagai parti politik dan bertanding didalam pilihanraya umum yang menjelang tiba untuk menjadi juara kaum India di Malaysia ini!

Masyarakat India warganegara Malaysia bolehlah mengundi pemimpin pemimpin mana yang mereka mahu untuk menggulingkan Samy Vellu dan kuncu kuncu MIC nya!

Bukankah itu yang sepatutnya dari membiarkan MIC kembali berkuasa selama 50 tahun yang lampau dan kini HINDRAF berusaha melalui kempen demonstrasi jalanan yang belum pernah berjaya didalam sejarah negara kita selama ini?

Apa apa pun, kekadang manusia memang ditakdirkan untuk merasai hasil perbuatan mereka dek kerana terlalu taksub kepada dorongan pemimpin mereka untuk menggapai awan sedangkan tapak kaki mereka terbenam jauh kedalam kealpaan sendiri.

Kesudahannya? Kita tunggu dan lihat sahaja nanti kemana arus pergolakan semasa ini akan membawa mereka yang terlalu ingin merubah keadaan melalui perasaan geram dan ketidakpuasan hati mereka yang telah sekian lama dihiris dan dilukai oleh mereka yang telah curang terhadap segala kepercayaan kaum India warga Malaysia sejak datuk nenek mereka bersetuju untuk akur kepada perjanjian penubuhan Malaysia ini dengan pemimpin pemimpin Melayu dahulu.

Bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan dari mengikuti perkembangan siasah tanahair, daku sarankan agar rajin rajin lah melayari laman Malaysiakini kerana ianya menyajikan laporan dari semua yang terlibat dan bukan hanya menjadi corong propaganda pemerintah seperti kebanyakan media massa nasional.

Ilmu pengetahuan itu amatlah bernilai bagi mereka yang mampu berfikir secara waras dan tidak terlalu mengikut perasaan atau mudah diperkotak katikkan oleh para pemidato berkepentingan didalam dunia politik negara.

Warga Malaysia sekelian. Bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan kerana apabila manusia tewas kepada gejolak hawa nafsu amarah, selalunya tindakan mereka hanya menuju satu arah.

Kehancuran.

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberi Taufik dan Hidayah Nya kepada mereka yang sujud kepadanya dan memperkasakan mereka dengan kesedaran diri dan berwaspada terhadap arus cabaran yang sedang menimpa dek kerana hamba Allah Subhanahu Wa Ta'ala di bumi tanahair ini sedang leka dihanyut gelombang hedonisma tajaan Imam Hadhari.

Sudah tiba masa dan ketikanya keturunan 'Demang Lebar Daun' sedar diri dari lamunan kini.