Part of the Do'a Iftitah

"Verily my solats, my ibadah, my life and my death I surrender to Almighty Allah, Creator and Lord of all the worlds. Never will I associate anything with Him. So am I commanded and I am of those who are Muslims."

The Muslim Bloggers Alliance

The Muslim Bloggers Alliance
Bringing Muslim Bloggers Together

Friday, November 07, 2008

Suka Duka Saudara Baru untuk diiktiraf sebagai Muslim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuan tuan dan puan puan yang saya hormati.

Saya ingin menengahkan satu masaalah besar yang dihadapi oleh saudara saudari baru kita di Malaysia ini.

Bagi kita yang lahir sebagai Muslim, ramai yang mengambil mudah akan hakikat diri itu beragama Islam dan hidup tanpa sedar akan kepayahan mereka yang lahir dikalangan orang orang kafir dan setelah membesar dan mendapat Taufik dan Hidayah dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala berusaha untuk memeluk Agama Islam nan suci ini.





Cikgu Nur Aliya Yeoh binti Abdullah.

Seorang rakan blogger saya @ Cikgu Nur Aliya Yeoh binti Abdullah melalui pengalaman pengalaman yang amat mencabar dan menduga tahap kesabarannya bila terpaksa menghadapi pelbagai macam kerenah kerenah birokrasi pegawai pegawai Kerajaan Malaysia.

Kalau orang yang kurang sabar atau rapuh imannya, sudah tentu akan berkata' Ah! Persetanlah dengan ini semua!' dan membatalkan hasrat mereka untuk menjadi seorang Muslim!

Namun Alhamdulillah beberapa orang Mualaf yang saya kenal didalam hidup saya ini membuktikan kesungguhan dan kemantapan iman mereka dan berjaya melalui keseluruhan ujian ujian dari manusia manusia berbangsa Melayu dinegara ini yang merasakan diri mereka lebih Islam dari yang lain padahal suratkhabar dan majalah majalah agama mendedahkan kes kes jenayah jenayah yang memaparkan realiti sebaliknya.

Saya amat kagum dan bangga dengan sahabat sahabat saya ini terutama sekali dengan Cikgu Nur Aliya diatas semangat nya dan Ustaz Haji Kamaruddin Abdullah Santanasamy, rakan pengasas Pusat Dakwah Islam yang kami tubuhkan di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.







Ustaz Haji Kamaruddin Abdullah sedang berdakwah kepada seorang pelancung yang hadir di pusat dakwah kami di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.

Mereka adalah simbol insan insan istimewa yang melalui 'Gauntlet of Fire' didalam hidup mereka demi untuk menegakkan Ad Deenullah didalam jiwa mereka dan membantu yang lain untuk memahami Agama Islam yang maha suci.

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala merahmati kehidupan mereka berdua ini dan juga rakan rakan mualaf yang lain supaya terus tabah menghadapi ragam ragam manusia sesama agama ditanahair ini yang sayangnya mengidap penyakit ujub dan riya' didalam hati mereka dan memandang rendah terhadap mualaf!

Saya memohon kepada para pembaca agar menasihati mereka yang memandang rendah terhadap para mualaf supaya bertaubat dan kembali menghayati ertikata menjadi seorang Muslim didalam pengertian yang sebenarnya. Insya Allah.

Mari lah kita membaca luahan hati Cikgu Nur Aliya yang terkini yang saya petik dengan izinnya dari blog beliau di Musings of a Mualaf yang beralamat http://pukullima.blogspot.com.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Artikel ini muncul dalam pos bulan Disember 2007. Saya pos sekali lagi bagi pengetahuan pembaca yang baru mengenali blog ini agar dapat membantu mereka yang berhasrat memeluk Islam. Bacalah dan bayangkanlah kalau anda mualaf yang baru memeluk Islam :)


Tape apakah yang saya maksudkan?

Bukan tape pelekat tetapi (red tape)@ kerenah birokrasi yang saling berkait, berlingkaran, dan mengambil masa lama untuk diurus.

Tape pertama: Mendaftar di Jabatan Agama Islam PP
Saya pergi ke sana dengan dua orang ustazah yang menjadi saksi pengislaman saya tempoh hari. Mereka juga ingin tahu prosedur yang perlu dilalui oleh seseorang yang hendak memeluk Islam. Ya la, bukan semua orang tahu tentang perkara ini. Kebetulan kami tiba agak lewat, maka proses yang dijalani kurang rumit.

Pertama, mendengar penerangan ringkas tentang konsep Islam.
Saya angguk faham, mudah apabila dua orang ustazah memberitahu pegawai bertugas bahawa mereka telah memberi penerangan lengkap kepada saya lebih awal lagi.

Kedua, mengisi Borang Maklumat Diri.
Sekali lagi dinasihati agar kekalkan nama keluarga.

Ketiga, diberi Surat Perakuan Masuk Islam Sementara yang mempunyai tarikh luput satu bulan. Surat sebesar ketas A4 ini penting, satu-satunya dokumen yang membuktikan keIslaman seseorang.

Keempat, diminta hadir kursus Fardu Ain untuk sebulan. Alamak, susah sebab saya tak ada pelepasan daripada pihak universiti, maklum saja semester baru bermula.

Alhamdulillah ustazah-ustazah saya menawarkan diri untuk mengajar. Kelonggaran diberi dengan syarat kembali ke situ untuk ditemuduga dalam tempoh sebulan.

Saya pulang dengan satu beg barang saguhati peralatan ibadah untuk saudara baru iaitu sejadah, pakaian sembahyang, terjemahan al-quran, buku asas fardu ain, serta buku asas mengerjakan sembahyang. Terima kasih.

Tape kedua: Kena lulus temuduga untuk dapat Sijil Masuk Islam
Haiyah!! Kena belajar ekspres pula sebelum diakui orang Islam oleh Jabatan Agama Islam. Dalam tempoh genap 30 hari pula tu. Banyak pula yang kena tahu.

Rasa-rasanya bukan semua orang Islam yang lahir dalam keluarga Islam yang boleh lulus temuduga kalau disoal semua perkara berikut.

Tak bolehkah beri tempoh lebih lama atau kurangkan topik yang perlu diketahui? Tensyen jadinya, tambahan saya juga merupakan mahasiswi yang belajar sepenuh masa.

Saya petik daripada Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri PPinang:

Kaedah Jagaan Dan Pengajaran Orang Masuk Islam Dan Cara Pendaftarannya.

(2) Mana-mana orang yang telah menghadiri mana-mana kelas Fardhu Ain di bawah perenggan 5 (1)
(b) hendaklah ditemuduga bagi memastikan tahap kefahaman Islam orang tersebut dan soalan-soalan yang perlu dikemukakan ialah –
(a) pengertian Iman dan Islam menurut bahasa dan istilah syarak;
(b) huraian rukum Iman dan Islam;
(c) pengertian bersuci dalam Islam seperti Istinjak, jenis-jenis air dan jenis najis/cara- cara mandi wajib@ mandi hadas besar;
(d) pengertian wudhu’ dan rukun-rukunnya;
(e) cara-cara melaksanakan sembahyang 5 waktu dan sembahyang Jumaat;
(f) Bacaan-bacaan wajib dalam sembahyang (Tabiratul Ihram, Surah Al-Fatihah, Tahiyat/Tasyahud dan Taslim/Salam)
(g) Pengertian hukum dan pembahagiannya.

Tape ketiga: Dapatkan Sijil Masuk Islam
Alhamdulillah saya lulus. Disuruh oleh Ustaz Malik untuk membaca Tahiyat akhir daripada ingatan. Saya katakan saya belum hafal sepenuhnya kerana sukar nak ingat kesemuanya dalam tempoh sebulan. Saya berdialog panjang dengan Ustaz Malik dan meminta dia menyoal bahagian lain yang saya tahu (amoi ini memang tak takut sesiapa kecuali Allah). Akhirnya dia mengalah dan mengistiharkan saya lulus :P.

Malangnya pegawai yang sepatutnya menandangani Sijil Masuk Islam bercuti dan tiada pegawai yang diamanahkan menggantikan tugasnya. Terpaksalah saya jadi orang Islam tak berdokumen pengenalan Islam selama dua minggu . Itu pun syukur kerana saya sudah bertudung.

Andai kata ditakdirkan maut dalam keadaan tiada dokumen dan mayat diambil oleh keluarga saya yang bukan Islam, jadi pula kes rebut mayat. (huhuhuuu).

Selepas menelefon Ustaz Malik berkali-kali dan merayu meminta dokumen berkenaan, akhirnya saya terpaksa meminta bantuan Pusat Islam untuk campur tangan.

Sijil yang ditunggu-tunggu sampai ke tangan saya dua minggu lewat. Terpaksa dihantar sendiri oleh Ustaz Malik kepada Ketua Imam Masjid al-Malik, USM. Agaknya sehingga hari ini Ustaz Malik masih ingat Aliya ini, hehehe.

Tape keempat: Surat Akuan Sumpah
Terpaksa pula mencari Pesuruhjaya Sumpah untuk mengangkat sumpah bahawa saya telah memeluk agama Islam, dan bahawa saya telah menggugurkan penggunaan nama lama untuk dikenali dengan nama Islam saya dalam segala perkara. Wajib ada surat akuan ini barulah permohonan untuk kad pengenalan baru boleh diproses. Khidmat ini tidak disediakan di Pejabat Agama Islam. Oleh sebab kesibukan studi dan kesuntukan masa untuk mendapatkan Pesuruhjaya Sumpah, akhirnya Sijil Masuk Islam dari negeri lain, Surat Akuan dari negeri lain. Bila ingat balik, terasa lucu juga.
Semoga Allah berkati pasangan Melayu yang tidak dikenali yang begitu baik hati membayar bagi pihak saya untuk Surat Akuan Sumpah tersebut. Kata mereka, sebagai menyambut saya sebagai saudara seagama mereka.

Tape kelima: Borang Permohonan Pindaan Butiran Dalam Kad Pengenalan
Sudah tentu saya mahu membuat kad pengenalan yang mempunyai nama baru saya dan perkataan Islam tertera di bawah gambar foto. Lagipun tak elok gambar lama yang tidak menutup aurat dilihat setiap kali saya mengeluarkan MyKad. Saya sudah mulai letih menerangkan mengapa saya memeluk Islam setiap kali orang membaca nama lama saya dan melihat saya memakai tudung. Masyarakat kita masih belum bersedia menerima wanita bernama Cina yang memakai tudung, melainkan dia rakyat negara China.Borang ini terhad di Jabatan Agama Islam. Saya minta juga kerana hendak menjimat masa dan tenaga pergi ke Pejabat Pendaftaran Negara, dan diberi borang terakhir dalam simpanan mereka. Borang ini perlu dilengkapkan dan dihantar kepada Bahagian Pendaftaran Negara di Putrajaya. Kalau pergi ke Pejabat Pendaftaran Negara yang terdekat pun, borang yang sama tetap perlu diisi.


Dokumen-dokumen lain perlu dikepilkan sekali, iaitu:
- Surat Akuan Berkanun Asal
- Salinan Sijil kelahiran
- Sijil Memeluk Agama Islam
- Wang Pos RM10

Saya diberitahu oleh seorang saudara baru ketika menerima wang sumbangan zakat bahwa MyKad barunya mengambil masa selama 6 bulan untuk siap. Saya tak mahu tunggu begitu lama, jadi pada waktu cuti, saya turun sendiri ke Putrajaya. Alhamdulillah walaupun buat kali pertama sampai ke sana, dengan bantuan kawan saya Ija, saya berjaya menghantar sendiri borang ini dengan dokumen yang diperlukan kepada pegawai bertugas. Permohonan saya diluluskan dalam tempoh sebulan tetapi surat tiba dua bulan kemudian. Tak kisah lah, dua bulan lebih baik daripada enam bulan.

Tape keenam : Menunggu MyKad baru
Kena tunggu dua bulan lagi untuk siap. Sabar sajalah dan senyum simpul setiap kali apek teksi tanya, “eh, lu Cina atau Melayu ahh?” bila nampak pas masuk ke dalam kampus saya yang masih bernamakan nama lama. Nak senang, saya jawab, “Apek, bapa saya Cina.”
“Oh, jadi lu masuk Melayu kah?” Nak selamat, senyum tak perlu jawab…

Alhamdulillah sekarang MyKad baru dah dapat, pas universiti dengan nama Islam pun dah dibuat dan digunakan sehingga saya tamat pengajian universiti. Lega sungguh kerana urusan seharian yang memerlukan pengenalan diri seperti urusan bank, paspot, dan sebagainya pasti lebih mudah dilakukan menggunakan MyKad baru. Tak banyak soal lagi.

(Saya tersilap rupanya. Tengoklah apa yang perlu diharungi semasa memohon paspot. Urusan bank banyak yang masih menggunakan nama asal. Tunggulah, kalau susah sangat, saya cari saja bank yang memudahkan saya. Setakat ini alhamdulillah Bank Muamalat dan BSN memberi kerjasama yang baik).

Selepas melalui semua tape ini, barulah saya sedar mengapa masih terdapat saudara baru yang masih belum mengutip Sijil Masuk Islam mereka dari Pejabat Agama Islam. Mengapa ada orang yang telah memeluk Islam yang dikatakan murtad, dan ada yang masih belum diketahui pengislamannya oleh ahli keluarga kerana pertukaran dokumen pengenalan diri merupakan pilihan individu itu sendiri. Juga mengapa masih ramai yang tidak menukar kad pengenalan untuk menyatakan secara bertulis bahawa mereka sudah beragama Islam, kerana tak tahu prosedur dan tak dibantu oleh orang yang bertanggungjawab. Sebenarnya kalau tak umumkan pertukaran agama, tiada siapa yang tahu atau ambil kisah, sehingga orang berkenaan meninggal dunia di hospital. Barulah heboh satu negara apabila berlakunya perebutan mayat antara ahli keluarga dan pihak Jabatan Agama yang tidak melakukan lawatan ke rumah saudara baru setelah Sijil Masuk Islam dikeluarkan.

Mengistiharkan diri sebagai orang Islam di Malaysia adalah satu proses yang rumit, panjang dan lama.

SEMUANYA KENA URUSKAN SENDIRI.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Begitulah tuan tuan dan puan puan para pembaca blog yang saya hormati sekelian, suka duka saudara baru kita yang selalunya tidak diendahkan orang.

Cabaran cabaran yang hebat menanti mereka yang mahu memeluk Agama Islam di Malaysia ini.























Saya rasa Kerajaan Malaysia harus menganugerahkan satu pingat emas kepada setiap mualah yang berjaya melalui halangan halangan birokrasi kakitangan pegawai jabatan jabatan dan kementerian mereka sendiri kerana bukan sebarangan orang boleh tahan sabar dengan segala birokrasi tanpa perlu ini?

Bukan mudah untuk lulus sebagai seorang mualaf di tanah air kita.

Mereka bukan sahaja akan menghadapi cemuhan dan prasangka buruk dari masyarakat sekaum dengan mereka tetapi dipandang rendah pula oleh golongan tertentu didalam masyarakat Islam di Malaysia ini.

Mereka akan dituduh masuk Islam kerana kemaruk dengan diskaun kos harga rumah 5 hingga 7% bagi mereka yang bertaraf bumiputera!

Mereka akan dituduh cuba mendapatkan peruntukan rumah kos rendah yang dikhaskan untuk orang orang Melayu, dsbnya!

Mereka akan dituduh 'Masuk Melayu' oleh orang orang yang 'kureng' dibahagian pemahaman ertikata sebenar agama Islam disini.

Siapa yang boleh menukar keturunannya?

Tengok muka sahaja kita dah tahu sipolan ni bangsa apa dan sebagainya? Hanya orang yang 'kureng' sahaja boleh keluarkan kenyataan kenyataan kurang bijak seperti itu!

Nak kata bodoh ramai yang melenting karang tetapi bukankah itu hakikatnya?

Pelbagai ujian ujian sosial akan dihadapi oleh mereka yang hanya mahu hidup sebagai orang Islam setelah mendapat kesedaran akan siapa diri mereka sebenarnya dan siapa Tuhan sebenar yang berhak disembah?

Sebab itulah saya amat sayang akan kedua sahabat saya yang saya rujuk didalam artikel ini.

Sehingga kehari ini, saya akan mendapat berita dari Kamaruddin tentang cabaran cabaran terkini yang dihadapinya di Masjid Kapitan Keling.

Saya akan menasihatinya supaya bersabar dan ingat kepada azamnya untuk hidup dan mati dijalan Allah!

Kita hidup dengan izin Allah dan kalau boleh biarlah kita mengakhiri hayat kita dijalan Nya!

Amin.

Semoga setiap pembaca artikel ini akan sedar akan perlunya kita membantu para mualaf dikalangan kita dan bersedia membela mereka dari ketidakadilan didalam tanahair kita ini.

Insya Allah.

Selamat menunaikan solat Jumaat dan Selamat Berbakti terhadap para mualaf dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan dan kerjasama kita. Allah tetap akan membalas jasa jasa tuan puan semua. Insya Allah.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

7 comments:

Reza Pahlavi said...

Assalamu alaikum wahai Mahaguru,

Pada pendapat saya:
1) 2/3 daripada 'red tape' bukanlah untuk menyusahkan mualaf tetapi untuk mengelakkan orang masuk Islam semata-mata untuk mendapatkan pelbagai manfaat Bumiputera serta mengelakkan pelbagai masalah di negara kita yang ada pelbagai agama selain Islam, di samping mengelakkan kebaikan serta hati murni umat Islam lain diperalatkan oleh sesetengah mualaf untuk mengutip derma simpati. Bukannya saya tak pernah terkena dengan 'con artist' yang kononnya baru masuk Islam dan mengutip derma dari orang ramai di tempat awam (sebelum tu mereka menyamar sebagai sami, padahal sami hanya dibolehkan meminta makanan, bukannya duit).

Tapi 1/3 tu memang menyusahkan, seperti 'jumpa sesumpah untuk disumpah' dan tunggu MyKad baru.

2) Perkara seperti 'masuk Islam adalah masuk Melayu' adalah saki-baki propaganda zaman Perang Dingin yang menyembunyikan fakta seperti kewujudan umat Islam di Xinjiang dan Laksamana Cheng Ho beragama Islam (takde pun fakta ni dalam buku teks sejarah masa saya Form 1 dulu) sebab kalau diketahui bahawa ada umat Islam di China, maka ia akan menjadi 'silver bullet' untuk Parti Komunis Malaya bagi menghapuskan propaganda bahawa komunis adalah anti Islam 100%.

Adapun 2) adalah pendapat seorang anak 80an. Saya nak tahu jugak dulu-dulu ada tak disebut pasal orang Islam di China sebab kali pertama saya baca ialah dalam Dewan Masyarakat pada tahun 1994.

On an unrelated matter, saya nak tanya sikit pasal hukum menghadiri 'candlelight vigil'. Terima kasih.

aliya said...

Kasihan Reza Pahlavi (Pahlavi nama Hindu atau Islam kah?)kerana ditipu orang yang berpura-pura memeluk Islam. Mengapa tidak memeriksa dahulu atau meminta mereka mengucap syahadah sebelum menderma? Adakah kerana sudah tertiu dengan orang yang tidakpun bergelar mualaf, maka anda terus tawar hati membantu saudara seagama anda? Ketahuilah bahawa mualaf tidak akan meminta bantuan kewangan secara individu kerana sudah pun ada organisasi tertentu yang menguruskan kami. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
lagi satu,apa yang istimewa sangat tentang hak keistimewaan bumiputera sehingga ada pihak yang sanggup menuduh semua orang memeluk Islam atau mualaf sebagai kemaruk dengan hak bumiputera itu? Buat pengetahuan orang yang masih jahil, kami mualaf yang ikhlas memeluk Islam semata-mata kerana beriman kepada Allah swt tidak pernah berfikir untuk bergelar bumiputera pun! Itu hanya mainan politik orang Melayu yang sudah lupa bahawa semua rezeki di muka bumi ini datangnya daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Walaupun tanpa pelbagai kemudahan bumiputera, orang bukan Melayu tetap dapat hidup selesa di negara ini dan tetap berdaya maju.Orang yang memeluk Islam seperti saya berbangga menjadi Muslim Cina, Muslim India, Muslim Kadazan, Muslim Iban, Muslim Bidyuh dan sebagainya. Hanya orang lahir Islam yang semakin sombong dengan segala kemudahan yang Allh berikan.Ketahuilah bahawa Alah jika Dia mahu, boleh menggantikan satu kaum yang tidak bersyukur dengan satu kaum lain yang lebih baik dan lebih bertaqwa padaNya. Wabillahit-taufiq, wal hidayah, wassalamu'alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh

Abu Usamah Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

Assalamualaikum wbt.

Apabila manusia menjadi Tuhan yang cuba menghakimi apa yang ada di dalam hati manusia, inilah jadinya.

Apakah saudara Reza tidak membaca kisah sahabat Rasulullah saw, Usamah Zaid yang membunuh seorang tentera kafir di dalam perang. Sebelum dibunuh tentera itu telah mengucap Kalimah Syahadah.

Rasulullah saw menegur perbuatan sahabat itu, sahabat itu menyatakan alasan dia membunuh tentera itu kerana ucapan syahadahnya ialah untuk selamatkan diri. Lalu Rasulullah saw menyatakan kepada sahabat itu, "Engkau belah dada dia, engkau belah dada dia". Maksudnya Rasulullah saw larang bunuh sebab dia dah Islam secara zahirny iaitu kalimah syahadah.

Jika di amati, keraguan Usamah kepada keIslaman tentera itu lebih berasas daripada alasan saudara Reza. Tentera itu mengucap kalimah syahadah ketika nyawanya di hujung tanduk, akan tetapi Rasulullah saw tetap membantah tindakan sahabat itu. Apakah keraguan yang saudara Reza kemukakan kepada saudara seIslam kita itu lebih kuat daripada alasan sahabat yang membunuh tadi?

Ini juga menunjukkan umat Islam masih ada perasaan bangsa mereka lagi mulia daripada bangsa lain. Bangsa merekalah tuan di bumi Malaysia ini. Selama ini kita dimomok kononnya ketuanan Melayu untuk membela Islam, tapi lihatlah sikap begini yang ditunjukkan segelintir Melayu, apakah ia untuk membantu Islam, atau sikap perkauman yang membawa kepada syak wasangka sesama Muslim.

Dan apakah hukumnya menyusahkan orang untuk menjadi Muslim? Apakah hukumnya bersangka buruk sesama Muslim? Apakah akibatnya kepada dakwah Islam dengan hal ini.

Kalau kita orang Islam, kita akan utamakan Islam daripada benda lain. Jika tidak, tanyalah akidah kita bagaimana.

Wallahua'lam

Reza Pahlavi said...

アィヤ先生、

Pahlavi bukan nama Hindu tetapi nama Parsi. Anda boleh membaca maklumat tentang 'saya' di Wikipedia.


Adapaun saya tidak memeriksa kebenaran seseorang 'con artist' yang menyamar sebagai mualaf atas dasar sangka baik, satu nilai yang sering disemai oleh sekumpulan sarkas , padahal kumpulan sarkas tersebut mengamalkan sangka buruk tetapi mentakrifkannya sebagai 'pencegahan' contohnya Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walaupun demikian, saya bersedia bersikap seperti pengawal di pos kawalan Taliban yang sekurang-kurangnya bertanya 'adakah anda membawa Al-Quran, jika tidak bawa, sila sambung ayat ini' dan dibacakan ayat pertama Surah Al-Mulk. Paling tak pun, saya akan memintanya membacakan surah Al-Fatihah.

Kebanyakan penumpang kapal terbang tidak ada niat untuk terlibat dalam 'acts by non-state actors'. Begitu juga dengan mualaf. Kebanyakannya memang tidak berminat bertukar menjadi bumiputera. Adakah budak perempuan berumur 16 tahun yang lari dari rumah semata-mata ingin memeluk Islam sudah ada wang untuk membeli rumah? Hakikatnya segala-gala 'red tape' bukan untuk mualaf sahaja. Orang Maghribi yang bahasa ibundanya adalah bahasa Al-Quran pun ada banyak 'red tape' semata-mata untuk berkahwin dengan ibu saudara saya.

Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan terlalu banyak 'red tape' janganlah merungut tentang 'red tape' yang anda tempuhi semata-mata. Bandingkanlah 'red tape' bagi orang Buddha yang ingin menganut agama Kristian atau orang putih yang ingin memeluk agama Islam. Barulah anda mempunyai 'asas untuk merungut' yang lebih kuat.

aliya said...

Saya pernah menganut agama Kristian Protestant, tidak ada sebarang red-tape oleh pihak gereja. Orang putih ingin memeluk agama Islam di negara Barat, tidak ada red tape oleh orang Islam di sana. Saya tidak faham apa yang saudara Reza maksudkan dengan 'asas untuk merungut tentang red-tape". Mungkin kerana anda sendiri tidak pernah dan tidak perlu melalui semua red-tape yang mualaf perlu lalui maka anda bersikap kurang prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh sauadar baru yg seagama dengan anda. Saya doakan agar Allah swt memberi petunjuk yang terbaik dan paling efektif kepada anda supaya anda ceat sedar, wahai saudara Reza!

Abu Usamah Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

Assalamualaikum wbt.

Orang yang meletakkan benda lain lebih penting dari Islam patut check balik akidah mereka.

Tengoklah bagaimana Rasulullah saw marah sahabat yang bunuh orang kafir yang ucap kalimah syahadah waktu dalam perang.

Reza Pahlavi said...

アィヤ 先生、


Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, yang 'tidak ikhlas' mungkin sekadar 0.01% tetapi sudah cukup untuk merosakkan imej agama Islam atau menyebabkan kes yang merosakkan keharmonian antara penduduk di negara ini. Jika anda di dalam golongan 99.99% maka anda tidak perlu risau atau terasa.

Ingin saya perjelaskan tentang pengiraan saya yang menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa 2/3 bukanlah untuk menyusahkan:

Tape #1: Mendaftar di Jabatan Agama Islam

Tidak menyusahkan kerana dapat belajar asas-asas ajaran Islam.

Tape #2: Kena lulus temuduga untuk dapat Sijil Masuk Islam

Tidak menyusahkan kerana 'difficulty level' sebenarnya lebih mudah daripada subjek Pendidikan Islam Tingkatan 1-3 beserta PAFA. (Bagi orang yang Islam sejak lahir, kalau dulu PAFA gagal tiada orang nak kutuk, kalau sekarang akan disindir "kau gagal PAFA? Jadi kau tak reti mandi wajiblah ye?"

Tape #3: Dapatkan Sijil Masuk Islam

Tidak menyusahkan jika semua orang termasuklah pegawai Jabatan Agama Islam buat kerja masing-masing serta ada 'succession plan' kalau ada pegawai yang bercuti.

Kelemahannya adalah dari segi pelaksanaan sehingga menyebabkan saudari jadi orang Islam tanpa dokumen pengenalan Islam selama dua minggu.

Tape #4: Surat Akuan Sumpah

Sangat menyusahkan kerana anda tidak sepatutnya 'kena sumpah' semata-mata kerana memeluk Islam.
Kalau ini sebahagian dari prosedur sepatutnya Jabatan Agama Islam sediakan 'sesumpah'nya sendiri.

Tape #5: Borang Permohonan Pindaan Butiran Dalam Kad Pengenalan

Ini adalah keperluan, jadi tak boleh nak buat apa-apa dan tidak boleh dianggap sebagai menyusahkan kerana dah jadi keperluan.

Tape #6: Menunggu MyKad baru

Sangat menyusahkan kerana bergantung sepenuhnya kepada 'kepantasan' pegawai kerajaan menjalankan tugas mereka semata-mata.

Tidak menyusahkan = 4 daripada 6 = 2/3

Kesimpulannya, masalah yang anda hadapi sebagai mualaf bukanlah berpunca dari 'red tape' semata-mata tetapi kurangnya kesungguhan pegawai kerajaan dalam mengalu-alukan saudara baru ke dalam agama mereka sendiri.

Adapun saya berasal dari latarbelakang teknikal jadi saya membuat analisa dari perspektif pengiraan dan teknikal. Jika saudari masih terasa dengan analisa saya, saya sedia meminta maaf kepada saudari.